PRU16: KEADILAN Johor Digesa Perkuat Organisasi, Jentera Parti – Penganalisis

 


Faizul gesa KEADILAN Johor giatkan usaha memperkemas jentera parti dan memperkukuh disiplin dalaman amat penting supaya KEADILAN terus dilihat stabil, tersusun dan bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor digesa terus memperkukuh struktur organisasi parti di semua peringkat hingga kebakar umbi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti kekal utuh menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Gesaan itu disuarakan penganalisis, Faizul Abdul Ghani yang menyarankan, usaha memperkemas jentera parti dan memperkukuh disiplin dalaman amat penting supaya KEADILAN terus dilihat stabil, tersusun dan bersedia menghadapi pilihan raya akan datang, tanpa mengira sama ada ‘kawan’ dalam Kerajaan Perpaduan atau ‘lawan’ yang jelas dan terang.

Situasi parti ‘kancil’ berlaku kerana politik Malaysia tidak pernah memihak kepada parti yang hanya bersandarkan satu individu tertentu dan pupus ditelan zaman.

“Proses “pembersihan” yang sedang dilakukan dalam parti perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh organisasi, bukannya mencetuskan perpecahan yang akhirnya merugikan malah menjejaskan peluang kemenangan.

“Kekuatan parti sebenarnya tertumpu kepada gerak kerja di lapangan dan bukan menunggu arahan pimpinan pusat kerana keberadaan KEADILAN mesti dirasai setiap masa seperti mana rakyat merasai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) setiap bulan atau Sumbangan Tunai Rahmah (STR) setiap suku tahun.

“Kesemua elemen kemenangan mesti ditangani secara matang dan berhemah demi memastikan KEADILAN terus relevan sebagai tunjang penting dalam Pakatan Harapan (PH) sama ada di negeri ini mahupun di peringkat Persekutuan,” tegasnya.

Tanpa memberikan kupasan menyeluruh kerana mahu menjaga kerahsiaan strategi, Faizul menambah, KEADILAN Johor perlu tampil dengan kepimpinan yang lebih tersusun malah dekat dengan rakyat serta mampu membawa naratif jelas mengenai agenda reformasi dan pembangunan yang diperjuangkan Kerajaan MADANI.

KEADILAN Johor perlu tampil dengan kepimpinan yang lebih tersusun malah dekat dengan rakyat serta mampu membawa naratif jelas mengenai agenda reformasi dan pembangunan yang diperjuangkan Kerajaan MADANI. Foto Allex Seah

Beliau sedikit kesal kerana logo PH kurang dipaparkan di media sosial termasuk di kalangan jentera parti sendiri, malah tidak selari dengan tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus mendapat perhatian rakyat menerusi pelbagai ikhtiar dan intervensi hingga negara mampu mencapai kestabilan ekonomi termasuk di Johor.

“Saya sedikit kecewa kerana kekuatan kepimpinan Perdana Menteri yang dihormati dunia gagal diterjemahkan melalui gerak kerja akar umbi yang lebih agresif dan tersusun di Johor, termasuk di kalangan penggerak dan anggota PH seolahnya hanya PMX seorang sahaja yang bekerja.

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang berakhir pada 17 Mei 2026 wajar dijadikan pemangkin kepada ketersediaan jentera pilihan raya KEADILAN termasuk di Johor tanpa mengira bila berlakunya pembubaran Dewan Rakyat. Foto Allex Seah

Untuk itu, beliau menyarankan KEADILAN Johor memperkukuhkan persefahaman antara parti komponen PH kerana dapatan keputusan PRU15 menunjukkan parti lawan tidaklah ‘kebal’ seperti yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 lalu.



No comments: