
Siti Mastura Muhammad gagal dalam rayuan terhadap penghakiman memihak Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok, yang diputuskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada Disember 2024.
PUTRAJAYA, 24 Apr – Malang terus menimpa seorang ahli parlimen wanita Pas setelah Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memerintahkan Siti Mastura Muhammad membayar ganti rugi RM825,000 kerana memfitnah tiga pemimpin kanan DAP.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Ahmad Kamal Shahid, bersama Evrol Mariette Peters, dan Latifah Tahar, sebulat suara menolak rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas itu.
Siti Mastura didapati memfitnah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok dengan mengaitkan mereka dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, melalui dakwaan kononnya mereka hubungan kekeluargaan dalam satu ceramah politik di sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu, pada 4 November 2023.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Kamal menyatakan mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuannya, sekali gus mengekalkan sepenuhnya penghakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada 4 Disember 2024.
Panel itu juga menolak rayuan balas daripada ketiga-tiga pemimpin berkenaan berhubung kuantum ganti rugi, yang didakwa tidak mencukupi.
Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos bagi kedua-dua rayuan dan rayuan balas berkenaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memihak tiga pemimpin DAP tersebut dengan memberikan ganti rugi RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon juga telah memerintahkan Siti Mastura membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif, berserta faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman.
Dengan keputusan itu, Kit Siang memperolehi RM325,000; Guan Eng RM275,000 dan Teresa sebanyak RM225,000 menjadikan jumlah keseluruhannya RM825,000 tidak termasuk faedah yang ditetapkan.
Pada 23 Januari lalu, Siti Mastura telah melunaskan sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada ketiga-tiga pemimpin itu, sehari sebelumnya.
No comments:
Post a Comment