Sila Kemuka Bukti, Fitnah Simpan ‘Duit Songlap’ di Afrika – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Tingkatan 6, di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 24 April 2026. Foto Bernama

JOHOR BAHRU, 24 Apr – Dakwaan kononnya lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika tahun lalu bertujuan menyembunyikan wang yang disonglap merupakan satu fitnah besar terhadapnya.

Justeru, Perdana Menteri meminta pihak yang melontarkan dakwaan itu supaya tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan sedemikian dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk melayan fitnah itu.

“Kalau ada bukti, bawalah… tiada siapa terkecuali… kalau tidak, jadi sarang fitnah dan sebagainya… saya tak nak layan, saya banyak kerja,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada sesi ramah mesra ‘Temu Anwar’ bersama dengan penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir pada Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Tingkatan 6, di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 24 April 2026. Foto Bernama

Sebelum ini, tular di media sosial video seorang wanita dikenali sebagai “Sofia Rini” yang juga saksi dalam kes rasuah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei dan bekas setiausaha politik Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, kononnya membuat ‘pendedahan’ itu.

Antara lain, Sofia mendakwa “Anwar” berada di Afrika bagi menyimpan duit yang disonglap.

Perdana Menteri mengadakan lawatan ke tiga negara di Afrika iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bermula 18 hingga 24 November 2025 dalam usaha membuka ruang pelaburan baharu Malaysia di benua itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Ethiopia yang diketuai Presidennya, Sheikh Haji Ibrahim Tufa dalam rangka lawatan rasmi ke Ethiopia di Addis Ababa pada 20 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim

Mengulas mengenai kemelut institusi beradat di Negeri Sembilan, Anwar berkata perkara itu sebaiknya diputuskan mengikut undang-undang adat negeri berkenaan.

“Sekarang dah tenang… mungkin ambil masa sedikit… kita serah pada kebijaksanaan (pihak yang berkaitan),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Perdana Menteri diraikan dalam satu majlis makan malam dihoskan oleh Presiden Republik Kenya William Samoei Ruto di Istana Negara, Nairobi pada 23 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim

Aminuddin berkata ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-15 Negeri Sembilan, yang dirasmikan oleh Tuanku Muhriz kelmarin dan sepatutnya bersambung pada 27 hingga 29 April, telah ditangguhkan ke suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian.





No comments: