Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan segera sebanyak RM300,000 bagi membina semula titian pejalan kaki di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah, susulan insiden roboh yang mencederakan penduduk bulan lalu.
Dalam kenyataan rasmi, keputusan itu dibuat selepas kejadian pada 22 Mac lalu, ketika beberapa penduduk dilaporkan terjatuh ke laut semasa ziarah Aidilfitri akibat struktur titi yang uzur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan meluluskan peruntukan khas tersebut sebagai langkah segera bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terus terjamin.
Menurut Unit Komunikasi Korporat dan Media, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), projek pembinaan semula akan memberi tumpuan kepada struktur yang lebih kukuh dan selamat, menggantikan titi lama yang berisiko.
“Keputusan pantas ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan rakyat serta keutamaan terhadap keselamatan awam,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan projek akan dipantau oleh ICU JPM Negeri Sabah bagi memastikan kerja pembinaan dapat disiapkan dalam kadar segera demi kemudahan komuniti setempat.
Kerajaan turut menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam memastikan akses kepada kemudahan asas yang selamat dan inklusif.
Insiden tersebut sebelum ini mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan infrastruktur asas di kawasan perkampungan air, yang sering berdepan isu penyelenggaraan dan kekangan sumber.
No comments:
Post a Comment