
Lawatan rasmi Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese ke Malaysia bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak memberi manfaat kepada Malaysia khususnya dalam perkongsian strategik ekonomi termasuk kemampanan tenaga susulan konflik di Asia Barat. Foto PMO
PENDAPAT, 24 Apr – Media Australia kelmarin melaporkan negara mereka akan menerima bekalan tambahan diesel berjumlah 200 juta liter yang dikatakan disumberkan dari Korea Selatan, Brunei dan Malaysia.
Kerajaan Malaysia telah menafikan bahawa diesel tersebut adalah daripada minyak mentah yang dikeluarkan di Malaysia dan juga menafikan Kerajaan mahupun PETRONAS terlibat dengan penjualan tersebut.
Sama macam 329 ribu tong diesel yang dibeli oleh Filipina daripada Vitol yang mempunyai simpanan minyak dalam tangki simpanan di Pengerang, Johor baru-baru ini.

Media Australia sendiri melaporkan bahawa syarikat British Petroleum (BP) dan Viva Energy yang berpengkalan di Australia telah mendapat jaminan pembelian bekalan 200 juta liter daripada Brunei dan Malaysia satu kargo masing-masing dan juga Korea Selatan dua kargo.
Seperti yang saya tulis minggu lepas Australia adalah pengimport besar produk petroleum petrol, diesel dan minyak jet dari Malaysia sejak sebelum perang lagi: https://www.facebook.com/share/p/18SWBNQvfN/
Setelah menyemak data eksport diesel dari Malaysia ke Australia melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ia menunjukkan sebahagian besarnya adalah re-export atau eksport semula dengan nilai RM4.35 bilion tahun lepas dan RM375 juta di antara Januari hingga Mac tahun ini (2026).

Manakala eksport domestik diesel tahun lepas hanya RM2.16 juta dan tahun ini setakat Mac hanya RM476 ribu.
Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar diesel yang dieksport ke Australia bukanlah diesel yang berasal dari minyak mentah yang ditapis di Malaysia tetapi adalah diesel yang diimport dari luar negara kemudian dieksport semula ke Australia.
Saya juga pernah terangkan apa beza domestic export dan re-export sebelum ini: https://www.facebook.com/share/p/1B4j9zY9o6/
Tidak ada yang mengejutkan kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang berdagang sentiasa mengimport dan mengeksport semula minyak dan produk petroleum termasuk diesel.
Sebagai contoh tahun lepas (2025) Malaysia mengimport diesel bernilai RM47.6 bilion dan mengeksport semula RM37.5 bilion ke negara-negara pengimport.
Tahun ini antara Januari hingga Mac 2026, Malaysia mengimport RM11.5 bilion diesel dan mengeksport semula RM9.5 bilion diesel yang diimport.
Bila kita cakap Malaysia tidak semestinya ia adalah PETRONAS atau mana-mana syarikat tempatan tetapi juga termasuk syarikat-syarikat asing seperti Vitol, Trafigura, Glencore dan banyak lagi syarikat-syarikat perdagangan minyak yang terlibat dalam mengimport dan mengeksport semula diesel ke luar negara.
Malaysia tidak menghalang mana-mana syarikat dalam dan luar negara untuk menjalankan kegiatan perdagangan import dan eksport semula.
PETRONAS pula menjamin bekalan bahan api sudah ditapis seperti petrol, diesel, LPG dan minyak jet dijamin sehingga hujung bulan Jun dan ini tidak ada kena mengena dengan syarikat-syarikat komersil lain yang mengimport dan mengeksport semula bahan-bahan api ke luar negara.
Kita bukannya negara komunis nak rampas apa-apa pemilikan yang sah oleh syarikat atau entiti komersil.
Bila dah dalam krisis tenaga paling buruk dalam sejarah macam ni barulah kita tahu Malaysia sebenarnya hab perdagangan minyak Asia yang besar sama macam Singapura.
Sebelum ni takde siapa pun ambil tahu.
Oleh Syahir

No comments:
Post a Comment