PART 2- Pembangkang Malaysia yang berantakan dan gabungan Anwar yang rapuh

 





Pembangkang Malaysia yang berantakan dan gabungan Anwar yang rapuh


Kerajaan ‘Madani’ pimpinan Anwar bertahan bukan atas kelebihannya, tetapi kerana PN terus gagal



Berkecuali dalam melakukan perubahan


Tindakan paling mengelirukan oleh PN sebagai pembangkang adalah berkecuali sewaktu pindaan perlembagaan yang dicadangkan untuk mengenakan had penggal kumulatif 10 tahun untuk bakal perdana menteri, yang dibentangkan oleh kerajaan Madani pada awal Mac.

Rang undang-undang itu hanya kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan – dengan 44 Ahli Parlimen berkecuali dan 32 tidak hadir. Tiada seorang pun Ahli Parlimen mengundi menentangnya.

Dalam konteks demokrasi, had penggal adalah penting bagi membendung kuasa keterlaluan di peringkat eksekutif dan rasuah serta kereputan politik yang datang daripada kekal berkuasa terlalu lama. Penambahannya kepada rangka kerja perlembagaan sepatutnya dialu-alukan, terutamanya oleh pembangkang.

Sungguh membingungkan mengapa pembangkang percaya menghadkan penggal adalah idea yang buruk sedangkan ia akan menjadi manfaat terbesar sekiranya pindaan itu diluluskan.

PN menawarkan alasan yang meragukan bahawa had penggal akan merampas kuasa raja untuk melantik perdana menteri – satu dakwaan yang ditolak mentah-mentah oleh kerajaan. Kuasa raja dalam hal ini adalah bersifat upacara; kuasa sebenar terletak pada Parlimen yang dipilih secara demokratik.

Anwar juga harus mengambil tanggungjawab kerana gagal mengumpul undi yang mencukupi untuk meluluskan pindaan itu, meskipun gabungan Madani dikatakan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen. Ia merupakan bukti jelas betapa rapuh dan berpecahnya gabungan itu, dan menyusutnya kekuasaan dan kepimpinan Anwar sendiri.

Pun begitu, pindaan perlembagaan itu sepatutnya mendapat sokongan dwipartisan dan diluluskan dengan tentangan yang minima. Satu contoh baru-baru ini ialah kelulusan sebulat suara pindaan perlembagaan Undi18 pada tahun 2019 – iaitu pindaan yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, yang dilaksanakan pada Disember 2021.


Terdapat persetujuan dwipartisan bahawa Malaysia akhirnya patut menyertai seluruh dunia dalam menjadikan umur 18 tahun sebagai had umur minimum mengundi. Itulah rupa pembangkang yang berfungsi.

Pembangkang parlimen yang ada sekarang seakan memilih untuk berkecuali daripada pindaan had penggal yang dicadangkan hanya demi kepentingannya. Ia seperti memotong hidung untuk menghodohkan muka seseorang. Video Ahli Parlimen PN yang mengambil gambar secara berkumpulan di Parlimen untuk meraikan kekalahan pindaan itu menandakan titik terendah baharu bagi politik pembangkang di Malaysia.

Menanggung lemahnya pembangkang

Pada 11 April, saya menghadiri forum Rant or Rave di Pulau Pinang, yang dianjurkan bersama oleh Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Aliran. Para hadirin berpeluang untuk menyuarakan kekecewaan dan kepuasan mereka terhadap kerajaan Madani yang ada sekarang.

Salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah pembangkang yang lemah di peringkat negeri, di mana ramai merasakan ia boleh diatasi dengan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Perkara yang sama boleh dikatakan di peringkat kebangsaan. Malaysia mempunyai pembangkang yang tidak cekap dan tidak berwibawa untuk menawarkan apa-apa yang penting dalam soal dasar sebenar yang mempengaruhi kehidupan rakyat.

Malah ahli PN yang kononnya digelar “profesional” tidak kelihatan signifikan. Pembangkang seakan tidak dapat memberikan cabaran yang bermakna, walaupun penarafan sokongan terhadap kerajaan Madani berada di bawah paras yang memuaskan.

Ini hal yang cukup tidak baik. Dalam demokrasi yang mementingkan soal kawal dan imbang, ini adalah sebuah pengabaian tanggungjawab.

Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
15 April 2026

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:





No comments: