Ahli Parlimen Pas Permatang Pauh Dipanggil Ke Pejabat Agama Beri Keterangan

 


Muhammad Fawwaz (jubah putih) dipanggil ke Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bagi memberi keterangan di bawah Seksyen 58(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pulau Pinang 2004 pada 24 April 2026.

BUTTERWORTH, 24 Apr – Tidak lama selepas Ahli Parlimen Kepala Batas daripada Pas berkemungkinan ‘meroyan’ ekoran tetap kena bayar selepas kalah saman fitnah RM825,000 kepada tiga pemimpin DAP, seorang lagi ahli parlimen Pas dipanggil pihak berkuasa berhubung satu siasatan.

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dipanggil ke pejabat agama daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini bagi memberi keterangan di bawah Seksyen 58(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pulau Pinang 2004.

Menurut peguam kepada ahli parlimen Permatang Pauh itu, Yazid Khairul Azman berkata, sepanjang berada di situ, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah merakam percakapan Muhammad Fawwaz selama kira-kira 35 minit.

Muhammad Fawwaz (jubah putih) dipanggil ke Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bagi memberi keterangan di bawah Seksyen 58(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pulau Pinang 2004 pada 24 April 2026.

“Sesi itu (rakaman percakapan) berjalan dengan baik. Anak guam saya telah memberikan kerjasama yang sangat baik kepada pihak penguat kuasa. Begitu juga pihak penguat kuasa yang membenarkan kami (peguam) untuk masuk.

“Sekarang ini, kita serahkan kepada siasatan pihak penguat kuasa. Kita percaya bahawa keadilan adalah berpihak kepada kita dan kita mendoakan supaya siasatan dapat dijalankan dengan telus dan kebenaran akhirnya bersama-sama dengan anak guam saya, insya-Allah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yazid berkata, di bawah Seksyen 58(1) enakmen tersebut, pihak berkuasa agama sememangnya mempunyai kuasa untuk memanggil sesiapa sahaja yang diperlukan bagi membantu siasatan.

“Tiada perincian kesalahan disebut dan ia memang tidak dimaklumkan secara khusus buat masa ini,” tambahnya.





No comments: