TPM 2 mempercepat pembangunan Malaysia Timur
Tawaran Pakatan Harapan (PH) kepada mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 (TPM 2) bagi Malaysia Timur bertujuan khusus untuk mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata jawatan TPM 2 dalam PH tidak sama tujuannya dengan TPM 2 untuk Sarawak dan TPM 3 untuk Sabah sebagaimana dicadangkan oleh pemimpin BN yang lebih bermotifkan tawaran politik semata mata.
“Jawatan TPM 2 yang dijanjikan sejak era Pakatan Rakyat sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin hakikatnya bertujuan mempercepatkan kemajuan di Sabah dan Sarawak.
“Jawatan itu juga bersesuian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang diluluskan tahun ini dan memberi taraf sama rata kepada negeri Sabah, Sarawak serta Semenanjung.
“Peranan TPM 2 dalam hal ini adalah bagi memastikan lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan serta memantau pembangunan yang terbaik untuk rakyat di kedua dua negeri,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Memajukan Sabah dan Sarawak, kata Kelvin Yii, amat penting lebih lebih lagi apabila Indonesia akan mula memindahan ibu negaranya ke Kalimantan Timur dalam tempoh 2 hingga 3 tahun ke hadapan.
“Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan bakal dimajukan secara besar besaran oleh pemerintah negara jiran kerana ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara akan dipindahkan ke sana.
“Oleh itu, seharusnya Sabah dan Sarawak mempunyai infrastruktur berkelas dunia dan boleh menerima limpahan kemakmuran yang bakal dibawa oleh negara kuasa ekonomi ke-5 terbesar di dunia sebelum tahun 2030 tersebut,” katanya lagi.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, Jawatan TPM 2 sama sekali bukan sogokan kepada parti parti politik di Malaysia Timur untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, tetapi polisi mapan untuk memakmurkan rakyat Sabah dan Sarawak dalam memperolehi kemajuan yang setara dengan penduduk di Semenanjung.