Di Sabah dan Sarawak akan diumumkan kemudian.




KEADILAN mengumumkan calon calon yang akan bertanding di kerusi parlimen seluruh Semenanjung pada malam tadi.



Menurut Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Rafizi Ramli, semua calon tersebut telah dipilih dengan teliti dan memenuhi kriteria yang diperlukan untuk dijadikan pertimbangan pengundi.



Bagi kerusi Petaling Jaya, katanya, pemilihan Lee Chean Chung mungkin agak mengejutkan tetapi Rafizi menegaskan penyandang DUN Semambu itu amat layak untuk kerusi berkenaan.



"Petaling Jaya ni dia agak unik sebab pertama kita perlukan calon Cina yang berpendidikan tinggi kerana di sini golongan kelas atasan jadi kamu perlu berada pada tahap itu.



"Tetapi dalam masa sama mereka juga mahu seseorang yang amat aktif serta calon yang bertenaga untuk pergi ke seluruh kawasan. Ketiga, golongan intelek ini seronok dengan (mengambil peranan dalam) masyarakat sivil dan dalam kalangan kita, Chean Chung merupakan wakil dari Semambu, Kuantan untuk selama 2 penggal, dia bina pengaruh dari bawah.



"Tetapi yang penting sekali kita melihat masa hadapan pemimpin yang telah kita lahirkan. Jadi dia layak untuk kriteria yang sukar yang kita perlukan untuk Petaling Jaya," katanya kepada wartawan usai majlis pengumuman calon di Padang MPAJ, di Taman Kosas, Ampang, semalam.



Manakala 3 kerusi yang tidak diumumkan, kata Rafizi, masih dirundingi sama ada bersama MUDA atau PSM.



"Kerusi Sungai Siput, Tapah (Perak) dan Sembrong (Johor) masih dirundingkan dan diberikan kepada KEADILAN. Tetapi dituntut juga sama ada oleh MUDA atau PSM, dan kita masih berunding. Ia akan diputuskan dalam sehari dua. Kita tak boleh umumkan dahulu," katanya.



Untuk kerusi di Sabah dan Sarawak pula pengumuman akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi.



"Sabah akan diumumkan pada 31 Oktober dan Sarawak pada 1 November. Datuk Seri Anwar akan pergi ke sana," katanya.



Mengulas mengenai tokoh veteran yang telah bergiat sejak era Reformasi tetapi digugurkan kali ini seperti Sivarasa Rasiah, Rafizi berkata proses pemilihan dalam jawatankuasa telah dilakukan sebaik mungkin dan keputusannya meletakkan calon baharu.



"Pemilihan dibuat di peringat jawatankuasa dan kita senarai pendek 3 nama, dan keputusan akhir dengan Datuk Seri Anwar. Kita lalui semua proses dan ini adalah keputusan parti," katanya lagi.