Jual aset TH: Dijual ke Kementerian Kewangan, Kerajaan PH suntik RM19 bilion pulihkan TH




 

Tohmahan kononnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual aset milik Tabung Haji (TH) kepada bukan Bumiputera dimainkan secara besar besaran dalam naratif kempen parti Melayu-Islam sejak pembubaran parlimen.



Bagi Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, propaganda tersebut sebaliknya hanya memperbodohkan minda Melayu kerana dokumen kerajaan menunjukkan aset TH yang dijual ke Kementerian Kewangan dan masih ada di bawah jagaan Menteri Kewangan sehingga kini sekiranya mahu diselidiki.



Sebaliknya kata beliau, TH memang telah menunjukkan kewangan negatif sejak pendedahan yang dilakukan oleh beliau pada 2016



"27 Januari 2016 saya dedahkan rizab TH negatif sejak Disember 2014.



"Februari 2016 TH mengaku secara rasmi bahawa rizabnya memang negatif. Februari 2016 juga saya dedahkan surat Bank Negara bahawa amalan TH membayar dividen dalam keadaan rizab tidak mencukupi melanggar akta.



"Kesemua analisis dan pendedahan saya mengenai kerugian dan penyelewengan TH ini ada 33 analisis kesemuanya," katanya dalam satu klip video.



Selepas PH menang pada 2018, kata Rafizi, kerajaan melantik PricewaterhouseCoopers (PWC) untuk menyiasat prestasi kewangan TH.



Katanya, sebanyak RM549 juta kerugian dalam pelaburan yang gagal dicatat. Sebahagian besar, dakwa Rafizi, kerana penyelewengan dan disembunyikan. Hal itu, katanya untuk membolehkan TH melaporkan keuntungan yang lebih tinggi bagi membayar dividen kepada penyimpan sedangkan keuntungan tidak wujud



Juga, katanya, keuntungan dari penjualan saham Bank Islam sebanyak RM533 juta seperti direkodkan hanyalah helah perakaunan untuk mencipta keuntungan yang tidak ada.



"RM436 juta keuntungan anak syarikat TH yang diisytiharkan sebagai dividen dan dibayar ke TH pula kekal tertunggak sehingga 30 September 2018.



"Ini bermakna TH merekodkan keuntungan anak syarikat dan ia mendapat pendapatan dari anak syarikat. Masalahnya dividen itu belum dibayar bermakna pendapatan RM436 juta itu sebenarnya belum ada," katanya.



Rafizi juga menekankan akta penubuhan TH tidak membenarkan dividen dibayar jika kewangan syarikat negatif. Maka kata beliau, Kerajaan PH terpaksa memindahkan pelaburan atau syarikat yang rugi ke Kementerian Kewangan bagi memboleh TH membayar dividen dengan mengekalkan syarikat untung.



"Mengikut Akta TH, jika rizab negatif TH tidak boleh membayar dividen kepada penabung. Apa nasib pakcik makcik di kampung yang duit simpanan mereka kekal mengecil kerana diguna menampung anak anak syarikat yang rugi ini? Sebab itu PH mengambil keputusan menyelamatkan TH.



"Semua aset yang rugi dijual kepada Kementerian Kewangan pada harga RM19.9 bilion. Nilai aset ini hanyalah RM10 bilion tetapi Kementerian Kewangan membayar RM19 bilion.



"Maksudnya ambil duit pembayar cukai untuk disuntik ke dalam TH supaya rizab positif dan tidak memikul biawak hidup," katanya lagi.



Sehubungan itu, Rafizi mahu Umno dan Pas tidak lagi memutar belit isu TH. Kemenangan pilihan raya memang idaman semua ahli politik, katanya, tetapi janganlah gunakan apa sahaja cara termasuk menabur fitnah untuk menang.

 

 

No comments: