Bekas MP Batu terkilan nama digugurkan, dakwa ramai penyokong PKR kecewa.
Pengumuman senarai
calon PKR yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam
tidak diterima dengan baik semua pihak, malah ada yang meluahkan rasa kecewa.
Bekas Ahli Parlimen
Batu dan juga veteran PKR, Tian Chua antara yang menzahirkan kekecewaan selepas
namanya juga tidak tersenarai sebagai calon apabila PKR mengekalkan calon
lamanya, R Prabakaran.
Chua meluahkan rasa
kecewa dan menyifatkan senarai calon yang diumumkan PKR semalam tidak memuaskan
hati orang ramai, khususnya penyokong parti.
“Memandangkan saya
bukan lagi sebahagian kepimpinan parti pada masa ini, saya tidak tahu proses
terperinci mengenai pemilihan calon. Sudah tentu, pemilihan ini tidak akan
memuaskan hati semua orang. Ia boleh difahami,” katanya dalam hantaran akaun
Facebook.
“Bagaimanapun, saya rasa senarai calon sepatutnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti,” tambah Chua lagi.
Chua
juga berkata daripada maklum balas akar umbi, ramai yang memberitahu rata-rata
mereka kecewa dengan pemilihan calon yang dibuat pada PRU-15 kali ini dan mengingatkan
agat calon untuk memberi tumpuan sepenuhnya bagi memenangi hati pengundi.
“Selepas
pengumuman, ramai orang kecewa dengan sesetengah pemilihan calon.
“Saya
ingin mengingatkan semua calon bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk
bersuara di kawasan mereka dan mewakili kepentingan pengundi. Jangan menganggap
pengundi di kawasan itu sebagai tiket ke Parlimen (atau kuasa).
“Ahli
Parlimen bukan kelas istimewa, tetapi hamba rakyat. Sebagai Ahli Parlimen, kita
hidup dalam kalangan pengundi dan masyarakat adalah sebahagian daripada
kehidupan kita,” katanya lagi.
Terdahulu, PKR semalam mengumumkan 72 senarai calon Parlimen yang bakal ditandingi mereka pada PRU-15 nanti.