Walaupun hari penamaan calon ada kira-kira seminggu lagi, cubaan Tun Mahathir Mohamad mencari rakan kerjasama bagi GTA nampaknya terus menemui jalan buntu.
Jika sebelum ini PH dan Anwar Ibrahim dengan tegas menolak pelawaan bekerjasama yang dihulurkan Tun Mahathir dengan mengatakan lebih baik beliau bertemu rakyat daripada berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu, semalam PN dan Mahiaddin Md Yasin juga mengambil keputusan yang sama.
Pengerusi PN itu berkata, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menghadapi PRU15 dengan parti komponen sedia ada saja.
“Tak ada langsung perbincangan (dengan GTA)… kita putuskan untuk meneruskan atas inisiatif gabungan sedia ada semata-mata.
“Bukan tak nak bekerjasama tetapi kita putuskan untuk buat apa yang kita telah susun sejak awal.
“Masing-masing akan teruskan dengan agenda PN, bukan PN Plus dan sebagainya,” kata Mahiaddin selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN.
Respon Mahiaddin itu adalah berikutan kenyataan Tun Mahathir yang menyebut GTA dan PN telah memulakan rundingan bagi membentuk kerjasama bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Kenyataan Tun Mahathir yang muncul semalam itu adalah selepas hasrat beliau untuk bekerjasama dengan PH hanya mendapat reaksi dingin daripada Anwar, meskipun ada beberapa penganalisa dan ahli akademik tidak henti-henti menyarankan perlunya kerjasama itu diwujudkan.
Ada maklumat memberitahu, sebenarnya tiada sama sekali sebarang pertemuan, apa lagi rundingan, antara pemimpin PN dengan Tun Mahathir sebagaimana yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu.
Kata maklumat itu lagi, pemimpin PN hanya pernah bertemu dengan Tun Mahathir kira-kira empat bulan yang lalu, tetapi tidak langsung membincangkan soal kerjasama dengan GTA, jauh sekali berunding tentang pembahagian kerusi.
Pertemuan tersebut adalah dalam pengetahuan Mahiaddin selaku Pengerusi PN dan sekadar untuk menghormati Tun Mahathir yang menyatakan keinginan bertemu melalui seseorang yang dihantar khusus bagi tujuan tersebut, tambah maklumat itu lagi.
Bermakna sekarang, dengan penegasan Mahiaddin semalam, adalah jelas dan muktamad bahawa PN tidak akan bekerjasama dengan GTA serta dengan mana-mana pihak yang lain.
Lagi pula, soal pembahagian kerusi antara parti-parti dalam PN sudah pun selesai dan tiada ruang lagi untuk pihak luar berunding berkenaan dengannya.
Dalam hal ini, keputusan Mahiaddin menolak untuk bekerjasama dengan GTA adalah keputusan yang wajar, tepat serta bijak.
Sama seperti Anwar yang lebih dulu menolak GTA dan keputusan itu menyebabkan banyak pihak memuji pendiriannya, Mahiaddin juga sebenarnya layak diberi pujian atas ketegasannya itu.
Ini kerana, Tun Mahathir adalah toksik yang seharusnya dijauhi, bukannya didekati, selain kedudukannya tidak lagi relevan untuk dibuat kawan.
Tambahan pula, hasrat bekerjasama yang ditawarkan oleh Tun Mahathir tidak memberi apa-apa nilai tambah, baik kepada PH mahu pun PN, sebaliknya hanya untuk GTA menumpang kekuatan dua gabungan itu bagi memastikan nyawa politiknya tidak mati di tengah jalan.
Kini, dengan PH atau PN tidak mahu berkawan dengan Tun Mahathir, yang ada di depannya hanyalah jalan mati, kecuali laluan menuju ke “pusara kematian” semakin terbentang luas buat GTA selepas saja hari pengundian 19 November nanti. – ShahbudinHusin 28/10/2022.