KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjelaskan pemindahannya ke kerusi Parlimen baharu berikutan keyakinan dua kerusi yang pernah disandangnya dapat meneruskan rentak kemenangan.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Port Dickson itu berkata, pemindahannya ke Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diputuskan selepas kajian dilakukan di kawasan tersebut.
“Saya telah meninggalkan suatu gelanggang yang sudah kukuh. (Parlimen) Permatang Pauh bagi saya sudah kukuh dan (Parlimen) Port Dickson dalam beberapa tahun ini, saya telah berikan perhatian sangat banyak.
“(Jadi) saya hendak kukuhkan dan harus tawan kawasan baharu untuk memenangi dan menawan negara,” katanya dalam rakaman audio dikongsikan kepada media menerusi kumpulan WhatsApp.
Anwar yang juga calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) dijangka bertembung penyandang kerusi Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu.
PKR meletakkan 72 calon untuk bertanding di kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU15.
Malah, dalam majlis pengumuman calon PKR semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Anwar sedang mendahului di Parlimen Tambun, berdasarkan tinjauan dan semakan terperinci yang dilaksanakan parti itu.