LCS belum terima, tentera laut ‘kitar semula’ aset lama, kata panglima armada barat
PETALING JAYA: Tentera laut terpaksa melakukan proses “kitar semula” atau memanjangkan hayat kapal sedia ada susulan sebahagian besar aset dimiliki telah berusia.
Ia juga disebabkan kegagalan tentera laut memperoleh kapal baharu dalam jumlah dikehendaki, kata Panglima Armada Barat Abu Bakar Md Ajis.
Abu Bakar berkata, semakan mendapati 75% daripada 44 kapal milik tentera laut ketika ini sudah berusia lebih 40 tahun dengan ada antaranya melebihi 50 tahun.
“Sebagai contoh, kapal peronda laju yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun, dalam erti kata, kapal TLDM sudah lebih usia,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Jelas beliau lagi, tempo operasi kapal yang panjang mengkehendaki tentera laut sentiasa melakukan proses penyelenggaraan dengan segera berikutan keadaan kapal dimiliki “agak berumur”.
Katanya, sebagai contoh, KD Lekir yang baru pulang dari Eksesais Lingkaran Pasifik (RIMPAC) perlu melalui proses penyelenggaraan singkat untuk persediaan misi operasi yang lain.
Oleh itu, katanya, tentera laut ketika ini memerlukan kapal baharu dengan bilangan mencukupi kerana kuantiti sedia bukan sahaja tidak mencukupi, malah usia sudah lanjut.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, tentera laut perlu memastikan kesiagaan kapal perang sedia ada seperti KD Lekir berada di tahap tertinggi susulan tidak menerima aset baharu termasuk kapal tempur pesisir (LCS) dan kapal peronda misi pesisir (LMS) peringkat kedua.
“Jika TLDM diberi keupayaan diperlukan, kita yakin akan kemampuan kita untuk mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara, baik di waktu aman mahupun konflik,” katanya.