'PH tidak lindungi perasuah, Pas tidak wajar tuduh membuta tuli' - Ramanan



Tulisan pemimpin Pas Dr Mohd Zuhdi Marzuki membayangkan Pakatan Harapan di kelilingi perasuah dan mereka sangat tidak selesa dengan tulisan Presiden Pas, Hj Hadi Awang baru baru ini sangat tidak masuk akal berdasarkan realiti politik negara.


Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, hujah Dr Zuhdi mempertahankan tulisan Hj Hadi dalam tulisan baru baru ini bahawa perasuah majoritinya bukan Bumiputera amat kabur dan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain apatah lagi dibangkitkan pula golongan itu bersama Pakatan Harapan (PH)


Hakikatnya menurut Ramanan, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin paling lantang mendedahkan aktiviti 'ekonomi gelap' atau pengaliran wang haram keluar negara sebagaimana dibangkitkan di Parlimen dan meminta kerajaan menyiasat fakta yang didedahkan oleh Pandora Papers dan Panama Papers.


"Hanya presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendedahkan aktiviti haram yang dijalankan secara terbuka.


"Siapakah pula yang AJK Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki rujuk sebagai pelindung 'orang berdosa' dalam ekonomi kita?" tanya Ramanan merujuk perkataan Industri Maksiat (Sin Industry) dan Ekonomi Gelap (Black Economy) yang diungkapkan oleh Dr Zuhdi.


Ramanan mengkritik Zuhdi kerana sebelum ini AJK Pas pusat itu juga membela bekas Perdana Menteri Najib Razak biar pun jelas 3 mahkamah telah memutuskan Ahli Parlimen Pekan tersebut bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International.


"Ini adalah orang yang sama yang meragui profesionalisme pihak pendakwaan dalam sabitan berprofil tinggi negara kita baru-baru ini.


"Izinkan saya mengulangi kenyataan saya sebelum ini mengenai ketidakmampuan Pas untuk mentadbir telah menyebabkan mereka hanya mengeluarkan hujah sampah.


"Tindakan mereka mengelak akauntabiliti dengan menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia kelihatannya jauh sekali daripada ajaran Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz (suatu ketika dahulu)," katanya.


Justeru Ramanan, menasihati pemimpin Pas agar memanfaatkan kedudukan mereka yang bergelar pemuka agama atau pendakwah untuk memimpin masyarakat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang kabur, memecah belah atau menimulkan salah faham di tengah tengah masyarakat.


Beliau juga mengingatkan agar pemimpin Pas tidak membuat dakwaan semberono dan bercakap di luar bidang yang mereka kuasai supaya tidak mengelirukan rakyat yang memang telah sedia dikelirukan oleh propaganda Umno.


"Mungkin Pas perlu berwaspada apabila mengulas isu yang di luar bidang mereka. Kita perlu bekerjasama sebagai masyarakat progresif yang menumpukan kepada pembangunan rohani dan sosioekonomi, bukannya menangani isu-isu di permukaan (secara spekulasi) yang berisiko menyebabkan kerosakan awam," katanya lagi.


Zuhdi dalam tulian terbaharunya disiarkan Harakah bertajuk "PH dikelilingi golongan ‘pemberi rasuah’" mentohmah kononnya para pemain ekonomi gelap yang memusuhi Pas tidak mampu menentang parti itu secara bersemuka.


Mereka berlindung di belakang PH dan merasa kepanasan apabila Hj Hadi baru baru ini menulis 'pemberi rasuah ini majoritinya bukan-Bumiputera'.

 

No comments: