Rakyat atau penyokong Umno yang simpati berlebihan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah dikenakan denda amat tinggi selepas didapati bersalah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya membuat sedikit semakan.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Fahmi Fadzil, hakim tidak boleh dipersalahkan kerana denda yang dijatuhkan itu kerana Akta SPRM yang diluluskan di Parlimen menetapkan sedemikian.
"Kalau orang biasa kita tak kena denda tinggi. Ini untuk Najib RM210 juta, Rosmah RM970 juga. Angka yang sukar untuk kita faham.
"Tetapi adakah sebenarnya hakim itu, sama ada Nazlan dalam kes Najib dan semalam dalam kes Rosmah Mansur, adakah mereka ada apa apa ruang untuk memberikan denda yang kurang daripada itu?
"Oleh sebab itu saya buka balik buku lama dan sebenarnya mereka yang bertanggungajwab meletakkan angka 5 kali ganda itu termaktub dalam Akta SPRM yang diluluskan pada 16 Disember 2008. Siapa PM waktu itu Pak Lah, siapa Timbalan PM waktu itu? Najib.
"Siapa yang bawa akta SPRM pada 15 Disember 2008 (ke Dewan Rakyat), Nazri Aziz. Siapa mereka yang terlibat memastikan seksyen 24 yang dengan jelas menyatakan penerima suapan hukumannya tidak melebihi 10 tahun penjara dan didenda tidak kurang 5 kali suapan?
"Jadi kita perlu ucap terima kasih kepada Pak Lah dan Najib. Sebab Najib dan Pak Lah dan Nazri Aziz mereka meletak undang undang hari ini (pada tempatnya)," kata Fahmi dalam ceramah jelajah Pakatan Harapan (PH) di Selayang, malam tadi.
Menurut Pengarah Komunikasi PH itu lagi, Najib tidak perlu menyalahkan orang lain kecuali diri beliau di atas hukuman yang dijatuhkan. Begitu juga isterinya Rosmah.
"Kalau Rosmah nak marah, jangan marah kita, marah Najib. Sepatutnya 2008 itu Rosmah 'advise' Najib.
"Saya nak katakan apa yang berlaku dalam Parlimen sangat signifikan dan sangat memberi kesan (kepada undnag undang). Hari ini kita saksikan apa yang berlaku," katanya.
Sehubungan itu, Fahmi mahu rakyat meneruskan perubahan dengan keluar beramai ramai mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
Katanya, beliau telah menemui beberapa pengundi di Selangor yang tidak mahu keluar mengundi kerana merasakan kawasan mereka selamat.
Sedangkan, kata Fahmi, pemimpin Umno sedang terdesak dan akan melakukan apa sahaja untuk menang pilihan raya.
"Masalahnya kalau dia tidak keluar itu satu hal, tetapi kalau kawan kawan bertanya dengan dia, dan kawan kawan kata dia tak keluar, aku pun tak nak. Maka dia tanamkan sikap seperti itu.
"Kita kena anggap PRU 15 bila Najib dah masuk, mereka (kluster mahkamah) amat terdesak, desperado. Malah Ahmad Maslan dah kata Umno BN mesti menang besar. Maksudnya tidak ada satu kerusi akan selamat kalau berpandangan kerusi itu selamat.
"Kita perlu menjadi penghasut untuk memastikan semua rakyat keluar mengundi pada PRU 15.
"Kalau kita bersikap sambil lewa, undi aku tidak bawa kesan maka akan berjangkit kepada kawan kawan," katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mahu rakyat membuka fikiran menolak hujah kononnya tidak ada apa apa berlaku sepanjang pemerintahan PH. Sedangkan, katanya PH baharu mahu bermula ketika dijatuhkan pada Februari 2022.