UNTUK MELIHAT LEBIH RAMAI PEMIMPIN RASUAH DIPENJARAKAN, RAKYAT MESTI SENTIASA BERANI MENUKAR KERAJAAN


 Hampir semua daripada kita pada umumnya benci kepada rasuah, terutama yang dilakukan oleh pemimpin yang memegang kuasa.

Rasuah oleh pemimpin yang berkuasa bermakna mereka mencuri sebahagian daripada peruntukan kerajaan yang sepatutnya dibelanjakan untuk kepentingan rakyat miskin.

Orang mencuri setin sadin pun kita benci, apa lagi kepada pemimpin yang mencuri berguni-guni wang kerajaan untuk dimasukkan ke poket sendiri.

Disebabkan adanya rasuah, semua yang dirancang untuk kepentingan rakyat akan menjadi tidak berkualiti atau kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan daripada peruntukan asal.

Kalau bangunan, jambatan atau projek solar untuk sekolah yang ingin dilaksanakan, rasuah memungkinkan ia terbengkalai atau tidak mampu disiapkan.

Akhirnya, lebih banyak dana kerajaan dikeluarkan hanya untuk membuncitkan perut pemimpin yang makan rasuah, malah lagi banyak projek dilaksanakan lagi buncit perut mereka, sedangkan rakyat terus miskin serta sengsara.

Sebab itu, dalam minggu-minggu kebelakangan ini di mana Najib Razak dipenjarakan, Rosmah Mansor didapati bersalah, Bung Mokhtar Radin dan isteri diarah membela diri, disertai dengan beberapa pemimpin lain seperti Zahid Hamidi dan Azeez Rahim yang sedang dibicarakan, rakyat secara puratanya amat gembira dengan perkembangan tersebut.

Sebenarnya semua ini adalah hasil daripada berjayanya PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini.

Tanpa pertukaran kerajaan dan tanpa PH menjadi kerajaan atau dalam erti kata lain jika BN masih berkuasa dan tidak dikalahkan pada PRU 2018 lalu, sudah pasti apa yang terjadi hari ini kekal terperap sebagai kotoran yang disembunyikan bawah permaidani.

Itu baru 22 bulan PH berkuasa, bayangkan jika sampai habis penggal atau beberapa penggal?

Tidak mustahil penuh dalam media arus perdana dengan berita rasuah mereka yang bergelar pemimpin belaka!

Begitu pun, dalam hal yang menimpa Najib, Rosmah dan Bung Mokhtar itu, tidak kurang ramai yang memberi penghargaan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana dilihat kekal tabah dan cekal dengan pendirian tidak campurtangan dalam urusan mahkamah, biar pun didesak siang dan malam untuk berbuat demikian.

Pendirian beliau tidak mahu campurtangan telah memberi harapan dan keyakinan kepada rakyat untuk melihat negara ini dapat diselamatkan.

Harapan rakyat seterusnya ialah lebih ramai lagi pemimpin yang terkait dengan rasuah, terutama yang sedang dibicarakan sekarang, akan turut menerima hukuman masing-masing setelah kesalahan mereka berjaya dibuktikan.

Tidak dinafikan sebenarnya, bersama kuasa dalam tangan dan menjadi kerajaan, perkara paling mudah mengalpakan seseorang pemimpin ialah rasuah.

Godaan rasuah dan kemewahan wang ringgit begitu mudah menjadikan pemimpin yang ada kuasa untuk lupa kepada amanah dan juga kepada Tuhan.

Dalam hal ini, rakyat sebenarnya ada tanggungjawab tersendiri dalam membendung amalan rasuah dan mengajar pemimpin yang terpalit dengan perbuatan terkutuk itu.

Pilihanraya setiap lima tahun sekali adalah wadah paling terbaik, bukan saja untuk memantau kerajaan dan pemimpin yang rasuah, malah untuk menghantar mereka ke penjara.

Dalam hal ini, rakyat tidak harus takut menjatuhkan kerajaan jika didapati atau disedari amalan rasuah begitu berleluasa di dalamnya.

Sebagaimana telah terbukti melalui PH berkuasa selama 22 bulan dapat menghantar bekas Perdana Menteri ke penjara dan isterinya pun mungkin bakal ikut sama, perkara itu tidak seharusnya terhenti setakat ini saja.

Sebaliknya, iltizam menukar kerajaan dan harus menjadi pegangan yang berterusan dalam diri setiap rakyat bila tiba waktu pengundian.

Tidak kira apa jenis kerajaan sekali pun, ia tidak menjamin mereka benar-benar bebas daripada amalan rasuah dan sepanjang lima tahun mereka berkuasa, kita semua harus memantau dan memerhatikan sepanjang masa.

Jika tiada rasuah, bolehlah terus disokong dan diundi lagi untuk jadi kerajaan, tetapi kalau amalan rasuah berluasa, pastikan undi kita adalah untuk mereka berpindah kediaman ke penjara.

Kalau kerajaan baru pun kemudiannya didapati bejat dan rasuah juga, rakyat sekali lagi mesti menjatuhkan mereka.

Tidak mengapa kerajaan dijatuhkan berkali-kali dan penjara penuh dengan pemimpin, yang penting nasib rakyat dapat diselamatkan pada kesudahannya nanti. – ShahbudinHusin 03/09/2022.