Bukan sahaja benteras rasuah, PH akan lakukan reformasi pendidikan jika menang PRU 15








 Keberanian rakyat untuk merobah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu telah menyaksikan Kementerian Pendidikan melaporkan kes korupsi yang melibatkan projek perbekalan elektrik solar kepada sekolah luar bandar di Sarawak yang sarat penyelewengan dan dibicarakan di mahkamah.


Kemuncaknya, apabila isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansur dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi kerana dakwaan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada projek elektrik solar berkenaan.


Sehubungan itu, Jawatankausa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) berterima kasih terhadap mandat yang diberikan pada 8 Mei 2018 lalu dan berharap rakyat akan memberi sekali lagi peluang kepada PH melakukan perubahan pada PRU akan datang.


"JKPPH menyatakan penghargaan dan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan mandat kepada PH dalam PRU lalu.


"Dengan mandat yang diberikan kepada PH, PH berjaya mendedahkan skandal kewangan yang melibatkan infrastruktur pendidikan di Sarawak sehingga ke muka pengadilan.


"Akhirnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman," kata kenyataan JKPPH hari ini.


Menurut kenyataan itu lagi, PH waktu dijatuhkan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020 sedang berusaha memperbetulkan keadaan di Kementerian Pendidikan.


Kata mereka, banyak lagi ketirisan dan penyelewengan yang sepatutnya ditangani. Begitu juga reformasi pendidikan menuju era digitalisasi akan dilakukan sekiranya menang PRU 15.


"JKPPH kesal dengan skandal yang berlaku itu dan menganggap ia sebagai sebuah pengkhianatan kepada negara apabila pendidikan negara dimanipulasikan demi keuntungan peribadi.


"Oleh itu, JKPPH menyeru rakyat Malaysia untuk memberi peluang sekali lagi kepada PH memerintah negara bagi membolehkan proses mereformasikan sistem pendidikan dapat diteruskan," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik, Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP), Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN), Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah, DAP) dan Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN).

No comments: