JOM LA AZAM KE PARLIMEN....

 

Pemimpin DAP desak Azam Baki tampil ke Parlimen





Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, SPRM tidak akan
 hilang kuasa jika diletakkan di bawah Parlimen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mendesak Azam Baki untuk tampil ke Parlimen bagi memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dapat dipantau Parlimen.

Khoo yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ketika dihubungi berkata, Azam tidak perlu berdalih mengatakan SPRM akan kehilangan kebebasan yang dimiliki sekiranya diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen.

“Peranan Parlimen bukan memberi arahan kepada SPRM, sepertimana yang dibayangkan oleh Azam. Itu isu operasi, iaitu di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya ketika dihubungi.

Khoo berkata, satu jawatankuasa melibatkan tujuh hingga 10 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti memantau urusan pentadbiran melibatkan tugas membanteras rasuah yang dijalankan SPRM.

Kenyataan Khoo itu menyusul selepas Azam sebelum ini mengatakan ‘SPRM sudah ada enam badan “bebas” untuk memantau mereka, termasuklah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Kenyataan ini amat kelakar dan kurang tepat, kerana sehingga hari ini, Azam enggan hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas,” kata Khoo.

Terdahulu, Azam dalam laporan media menyatakan kebimbangannya sekiranya SPRM diletakkan di bawah Parlimen kerana mendakwa agensi itu tidak akan bebas daripada tekanan politik.

Katanya, SPRM dalam bentuknya ketika ini harus dipertahankan kerana boleh menyiasat sesiapa yang dikehendakinya, tanpa perlu meminta kebenaran sesiapa.

No comments: