PRU KETIKA BANJIR, AGONG ADA KUASA TOLAK BUBAR PARLIMEN


 Spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam musim tengkujuh menimbulkan persoalan sama ada Yang di-Pertuan Agong boleh menolak perkenan baginda untuk membubarkan parlimen.

Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya untuk tidak memperkenankan permintaan bagi membubarkan parlimen.

Bagaimanapun, oleh kerana tiada syarat khusus yang dinyatakan, terdapat pandangan berbeza mengenai bilakah seri paduka baginda boleh menggunakan kuasa tersebut.

Tiga daripada empat peguam yang dihubungi Malaysiakini, memberikan jawapan yang agak mudah bahawa baginda mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk menolak permintaan bagi membubarkan parlimen.

Pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata walaupun secara umumnya Agong mesti bertindak atas nasihat kabinet seperti dalam Perkara 40(1), baginda bebas daripada halangan itu terhadap perkara yang diliputi oleh Perkara 40(2).

“Perlembagaan Persekutuan senyap tentang perkara yang perlu dipertimbangkan oleh Agong dalam membuat keputusan mengenai isu ini (tidak memperkenankan membubarkan parlimen).

“Tetapi sudah tentu memudahkan atau kesukaran rakyat untuk melaksanakan tugas perlembagaan mereka dalam pilihan raya umum mungkin menjadi salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan,” tambahnya.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Yeo Yang Poh dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkongsi pandangan yang sama bahawa budi bicara agong di bawah Perkara 40(2) adalah mutlak.

Bagaimanapun, peguam New Sin Yew mengemukakan pendapat berbeza, berdasarkan perkataan tertentu dalam perlembagaan.

Meneliti Perkara 40(2)(b), New berkata budi bicara agong adalah dengan syarat ia adalah “permintaan” untuk membubarkan parlimen.

Dia berkata keadaan ini hanya terpakai apabila melibatkan Perkara 43(4) – yang secara khusus menyatakan bahawa perdana menteri yang hilang keyakinan di Dewan Rakyat, boleh “meminta” parlimen dibubarkan.

Dalam keadaan lain, New berkata, seruan agar parlimen dibubarkan lebih awal akan dianggap sebagai “nasihat” kabinet kepada Agong – yang menurut perlembagaan terpaksa diterima oleh baginda.

“Jika kabinet menasihatkan Agong untuk membubarkan Parlimen, ia bukan permintaan yang dibuat oleh perdana menteri di bawah Perkara 43(4).

“Oleh itu, Agong tidak boleh menahan perkenan untuk membubarkan Parlimen di bawah Perkara 40(2)(b) jika kabinet menasihati baginda, walaupun ketika banjir.

“Baginda mesti menerima dan bertindak mengikut nasihat di bawah Perkara 40(1) dan Perkara 40(1A),” tambah peguam itu.

New berkata insiden di Perak pada 2007 dan di Sabah pada 2018 di mana permintaan untuk membubarkan dewan undangan negeri (DUN) ditolak, berlaku dalam senario hilang keyakinan dalam DUN.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menerima tekanan daripada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan parlimen tahun ini.

Dengan hanya tiga bulan lagi dan musim tengkujuh semakin hampir, ia menimbulkan kebimbangan besar bahawa pilihan raya akan diadakan semasa musim banjir.

Ahmad Zahid berkata, BN bersedia mengharungi air bah semasa kempen PRU15.

Dia juga mendakwa pembangkang menggunakan isu banjir untuk melengakan PRU.

Ketika presiden Umno dan penyokongnya memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk membubarkan parlimen – New berkata perdana menteri tidak boleh bertindak bersendirian.

“Saya perlu tegaskan bahawa (di bawah Perlembagaan) kabinetlah yang menasihati Agong.

“Perdana menteri boleh bertindak di bawah kuasa am kabinet tetapi jika kabinet tidak meluluskan maka perdana menteri tidak boleh menasihati Agong secara unilateral,” katanya.

Beberapa menteri menolak gesaan PRU diadakan pada tahun ini, termasuk daripada Umno.



No comments: