Pengangkutan awam lintang pukang zaman BN?
Kerajaan BN – PN digesa mengkaji secara lebih serius kelemahan pengangkutan awam di negara ini di samping pengumuman Dasar Tenaga Negara (2022 – 2040) yang mensasarkan mencapai 50% kadar penggunaan mod pengangkutan awam menjelang tahun 2040.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Mohammad Azfar Aza, kerajaan sejak sedekad lalu telah menyasarkan untuk mencapai 40% kadar penggunaan mod dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11)
Namun malangnya, negara hanya mencapai 21% kadar penggunaan mod pengangkutan awam pada tahun 2018.
“Impaknya, menyebabkan warga Lembah Klang yang keluar bekerja menghabiskan sekurang-kurangnya 2 jam setiap hari di dalam kenderaan kerana kesesakan lalu lintas berulang-alik ke tempat kerja, dengan masa tambahan sehingga 25% daripada jadual kerja harian selama 8 jam.
“Walaupun kerajaan membelanjakan lebih RM100 bilion untuk meluaskan liputan rel di Lembah Klang, jumlah penumpang untuk sistem ini masih kurang daripada sasaran. Sebagai contoh, MRT Laluan Kajang menganggarkan jumlah penumpang harian sebanyak 442,000 pada tahun pembukaannya pada 2017.
“Hakikatnya, purata penumpang harian untuk MRT Laluan Kajang hanya 204,821 penumpang pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Azfar lagi, kerajaan BN tidak pernah berjaya menekankan soal ketersampaian (connectivity) mahupun kebergantungan (reliability) keseluruhan sistem pengangkutan awam di Malaysia.
Jelasnya, penggunaan bas pengantara (feeder bus) yang seharusnya menghubungkan kawasan perumahan atau mana-mana kawasan lain ke stesen rel begitu terhad.
Hal itu, tegas beliau menyebabkan rakyat lebih senang untuk berkereta bagi mengelakkan terpaksa berjalan kaki terlalu jauh dari satu stesen ke satu stesen pengangkutan awam.
“Berdasarkan indikator yang dikeluarkan oleh Indeks Mobiliti Bandar Lestari 2017, sistem pengangkutan awam di Lembah Klang mempunyai kadar kebergantungan antara terendah di dunia.
“Sebagai contoh, laluan LRT Kelana Jaya yang sehingga kini masih belum meneruskan kekerapannya seperti sebelum pandemik, iaitu kekerapan setiap 2 – 3 minit pada waktu puncak.
“Kekerapan laluan LRT Kelana Jaya kini masih selang 5 – 6 minit pada waktu puncak yang bermakna kecekapannya kini hanya separuh daripada waktu sebelum pandemik. Walaupun keadaan sekarang sudah seperti sedia kala
“Oleh itu, Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan ingin menggesa kerajaan untuk komited dalam meningkatkan ketersampaian dan kebergantungan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam ini supaya dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, terutamanya buat golongan belia dan anak muda,” katanya.
Sekiranya kerajaan berjaya meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, kata Azfar, anak muda tentunya tidak lagi terikat untuk membeli kereta pada awal usia pekerjaan.
Hal itu juga katanya, akan mengurangkan tragedi kebangkrapan dalam kalangan anak muda yang menurut Jabatan Insolvensi Malaysia bahawa gagal melangsaikan komitmen pinjaman kereta menjadi salah satu faktor utama 60% rakyat Malaysia yang berumur antara 25 sehingga 44 tahun diisytiharkan muflis.
Sehubungan itu, kata Azfar lagi, AMK Wilayah percaya sistem pengangkutan awam yang efisien dan berimpak bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti negara bahkan akan meringankan beban anak muda yang mahu memulakan kehidupan baharu.