KENYATAAN MEDIA PEMUDA DAP SHAH ALAM

 

Kenyataan Media

29hb September 2022

1. Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA) Fahmi Bazlan berkenaan naratif Melayu dan Parti DAP. (https://www.sinarharian.com.my/.../dap-perlekeh-naratif...).

2. Sebagai ahli parti DAP selama lebih 10 tahun, saya akui memang cabaran besar DAP mengubah pemikiran orang-orang Melayu untuk menyokong parti yang tidak berteraskan kaum.

3. Parti-parti berteraskan kaum seperti UMNO dan PAS sudah lama mendominasikan landskap politik Melayu Islam sejak zaman merdeka lagi. Namun demikian zaman dah mula berubah kerana orang Melayu semakin lama semakin pragmatik dan semakin tidak berminat akan politik perkauman yang haprak.

4. Apatah lagi semasa permainan politik perkauman dipermainkan oleh gabungan Muafakat Nasional sehingga Langkah Sheraton yang kononnya menggunakan alasan penyatuan Melayu Islam yang tidak memberikan apa-apa manfaat kepada sesiapa pun kecuali kegawatan ekonomi negara yang semakin merudum.

5. Yang pelik sekali, parti-parti Melayu yang dalam Kerajaan Persekutuan ini sedang bergaduh atas ketamakan kuasa.

6. Naratif DAP selama ini adalah politik perkhidmatan. Kami hanya percaya apabila perkhidmatan dijalankan dengan baik dan telus tak kiralah sebagai wakil komuniti, Ketua kampung, Ahli majlis atau wakil rakyat, sokongan akan meningkat dengan sendirinya.

7. Jika ahli Melayu berminat untuk memasuki DAP dan memahami perjuangan parti ini, kami akan sentiasa mengalu-alukan penyertaan.

8. Penyertaan ahli-ahli baru DAP di Parit, Perak adalah sesuatu yang memberikan semangat kepada DAP Perak serta Pengerusi Negeri Sdr. Nga Kor Ming kerana bukan senang untuk mengubah persepsi orang Melayu di kawasan kubu kuat UMNO.

9. Walaupun diperlekehkan oleh En. Fahmi Bazlan, kami melihat kejayaan ini sebagai pemberi semangat untuk tidak berputus asa memenangi hati pengundi atas pagar tanpa mengira latar belakang.

10. Alhamdulillah, sejak pilihanraya umum 2008 sampai 2018 bilangan kerusi parlimen dan negeri bagi parti DAP semakin meningkat. Ini adalah konsisten dengan politik perkhidmatan yang diamalkan oleh DAP selama ini.

11. Kita juga boleh melihat peningkatan yang sama bagi Parti Keadilan Rakyat yang juga mengamalkan politik perkhidmatan walaupun mereka berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya kehilangan wakil rakyat akibat pengkhianatan sebelum ini.

12. Namun demikian PKR masih konsisten dengan perjuangan dan masih maju ke hadapan untuk merealisasikan perjuangan Reformasi.

13. Parti-parti bertunjangkan Melayu menyalahkan DAP atas kegagalan pemimpin politik Melayu dan juga memperlekehkan perjuangan DAP selama ini tidak mendatangkan sebarang hasil dalam perjuangan politik mereka. Namun, mereka semakin gagal dalam meraih sokongan baharu.

14. Ini terbukti apabila sebelum Perdana Menteri ke-8 tumbang, beliau meminta talian hayat daripada DAP dan Pakatan Harapan untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri namun tidak kesampaian.

15. Situasi sama juga berlaku kepada Perdana Menteri sekarang di mana beliau bersetuju akan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan syarat beberapa reformasi parlimen dilaksanakan.

16. Fahmi Bazlan harus sedar bahawa rakyat dah muak dengan politik perkauman serta momokan negatif terhadap DAP untuk naik dalam politik.

17. Pengerusi GTA sendiri pernah berhujah bahawa GTA ingin menjadi gabungan politik yang berlainan daripada parti Melayu yang lain (https://www.bharian.com.my/.../gerakan-tanah-air-mahu...).

18. Sebagai pemimpin muda, mungkin En. Fahmi Bazlan boleh belajar daripada kawan-kawan lain untuk mencari naratif baru bagi meraih sokongan untuk gabungan politik baru ini dan bukan lapuk atau 'counterproductive' seperti serang DAP tanpa sebarang asas.

Muhammad Shakir Ameer

DAP Shah Alam