Mampukah 6 LCS disiapkan?
Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia masih diperdebatkan selepas 2 bulan.
Terbaharu, Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli mengungkap persoalan baharu apakah kapal berkenaan benar benar akan siap 6 buah sebagaimana ditempah dengan perbelanjaan RM9 bilion atau pun sebagaimana yang didakwa oleh pemain industri perkapalan jumlah yang dijangka siap akan lebih kecil.
“Dengan jumlah yang telah dibelanjakan melebihi RM6 bilion dari kos keseluruhan RM9 bilion yang diperuntukkan, berbanding kemajuan projek setakat ini, baki peruntukan dikira tidak mencukupi untuk menyiapkan kapal-kapal ini
“Berdasarkan pengumuman Hishamuddin sebelum ini yang kos keseluruhan projek LCS akan mencecah RM11 bilion, mereka menganggarkan hanya dua kapal LCS yang boleh disiapkan dengan jumlah tersebut
“Sebab itu, saya menyeru Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat beberapa soalan penting mengenai projek LCS ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Rafizi turut membariskan fakta bercanggah di antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang menyebut penyerahan kapal LCS adalah Kapal pertama pada Januari 2026, kapal kedua (September 2026), kapal ketiga (Mei 2027), kapal keempat (Januari 2028) dan kapal kelima (September 2028).
Sedangkan, katanya, mengikut Hishamuddin kapal pertama akan siap pada 2023 atau 2024.
Katanya, maklumat yang bercangah tersebut perlu dijelaskan oleh kerajaan sebaik baiknya.
“Berapa jumlah sebenar kapal LCS yang dibina di bawah kontrak dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) yang akan disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia?
“Berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS ini?
“Apakah jadual penyerahan sebenar kapal-kapal ini kepada TLDM?
“Perkara ini penting kerana kelewatan projek LCS sekarang sudah pun meletakkan tentera kita di belakang negara-negara serantau. Kapal LCS yang sepatutnya diserahkan dalam masa satu dua tahun ini dirancang dan dibina menggunakan teknologi sedekad lalu,” katanya.
Tegas mantan Ahli Parlimen Pandan itu, tidak masuk akal untuk meneruskan kontrak sedia dengan menggunakan spesifikasi sepuluh tahun lalu pada kos yang berkali ganda, kerana itu akan terus meminggirkan keupayaan pertahanan tentera Malaysia berbanding dengan negara serantau.
Katanya, negara sewajarnya membina keupayaan pertahanan yang setanding dengan kuasa serantau seperti Indonesia.
Semakan Rafizi menunjukkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mempunyai pelan jangka panjang memodenkan armada tentera laut mereka dengan rancangan jangka panjang Green Water Navy yang meletakkan sasaran kekuatan armada sebanyak 274 kapal terdiri daripada 110 kapal tempur, 66 kapal peronda dan 98 kapal bantuan menjelang 2024.
“Setakat ini, TNI sudah mempunyai 12 LCS di bawah kelas Clurit dan kelas Sampari.
“Sebab itu, skandal LCS yang berlaku sewajarnya meletakkan tumpuan negara kepada persoalan peruntukan berbilion ringgit yang dibazirkan akibat penyelewengan sedangkan keupayaan pertahanan negara terus menjadi usang.
“Justeru, saya menyeru Hishamuddin berterus terang mengenai jumlah sebenar yang akan dibelanjakan di bawah kontrak sedia ada dengan BNS dan berapa kapal sebenarnya yang akan siap dan diserahkan kepada TLDM,” katanya lagi.
Sekiranya Menteri Pertahanan menjawab persoalan itu, kata Rafizi, maka rakyat akan tahu berapa jauh ketinggalan teknologi kepal tempur Malaysia berbanding Indonesia.