PEGUAMBELA ENGGAN BERHUJAH, APAKAH NASIB NAJIB AKAN DIKETAHUI SEAWAL 26 OGOS?

 

Sekiranya peguam Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik kekal dengan pendiriannya, ini bermakna pihak pembela tidak akan membuat hujah pembelaan pada Selasa depan.

Sebagaimana dilaporkan Malaysiakini, selepas pihak pendakwa menamatkan hujahnya petang tadi, Hisyam mengulangi bahawa beliau tidak akan membuat sebarang penghujahan.

Ketika ini, Hisyam berdiri dan berkata: “Saya tidak akan membuat sebarang penghujahan.”

Hakim Tengku Maimun: Bukan secara lisan pun?

Hisyam: Bukan secara lisan.

Tengku Maimun: Tidak mengapa. Kami akan tunggu… pada Selasa (23 Ogos) dan kita tengok macam mana.

Kamu ada tiga hari (Sabtu, Ahad dan Isnin). Jangan beritahu kami bahawa kamu tidak bersedia untuk berhujah bagi mana-mana 94 alasan dalam petisyen rayuan.

Tidak mengapa jika tidak bersedia untuk memfailkan hujahan bertulis. Boleh berhujah secara lisan.

Hisyam: Saya tidak akan membuat hujahan.

Tengku Maimun: Terpulang kepada kamu. Dalam rekod kamu adalah peguam. Kita tunggu Selasa ini.

Ia adalah kebebasan kamu untuk mengemukakan hujahan atau sebaliknya, kamu ada tiga hari untuk bersedia.

Jangan kamu katakan kamu tidak bersedia untuk mengemukakan hujahan mengenai 94 alasan dalam petisyen rayuan kamu.

Sebelum itu, sebaik pihak pendakwaan menyelesaikan hujahannya, Hisyam memohon penangguhan prosiding rayuan itu sehingga Khamis ini kerana mempunyai kes lain pada hari Selasa dan Rabu.

Ketua Hakim Negara bagaimanapun sekali lagi dengan tegas berkata seperti yang telah dinyatakan berkali-kali, tiada penangguhan ke atas rayuan itu.

“Kita akan meneruskan seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/632707

Persoalan utama ini, apa jadi jika Hisyam tetap dengan pendiriannya tidak mahu membuat sebarang penghujahan pada Selasa, 23 Ogos nanti?

Apakah ini bermakna, sebagaimana jadual kes rayuan Najib ditetapkan mulai 15 hingga 26 Ogos dan disebabkan hujah pendakwa tidak disanggah oleh pembela yang enggan membuat hujahan, maka akan lebih mudah bagi Mahkamah Persekutuan membuat keputusannya?

Adakah 26 Ogos nanti kita semua akan tahu apa nasib Najib? – ShahbudinHusin 19/08/2022.



No comments: