AMANAT SAIFUDDIN NASUTION

 




Saudara dan saudari yang dihormati,

Sebagai sebuah parti ‘reform’ dan demokratik KEADILAN mesti menghormati dan melaksanakan hak setiap anggotanya. Menyedari hal ini Majlis Pimpinan Pusat telah membuat keputusan secara konsensus untuk menjalankan pemilihan parti pada Mei 2022. Ada dua rasional. Pertama mandat demokrasi yang anggota parti berikan kepada pimpinan sekarang ialah tiga tahun maka ianya perlu dikembalikan semula kepada anggota parti untuk memilih. Kedua kekosongan jawatan-jawatan tertinggi dalam hiraki parti ekoran peristiwa khianat Sheraton wajar segera diisi untuk berlaku adil kepada Presiden, pimpinan sekarang dan anggota seluruhnya agar tugas dan tanggungjawab menggerakkan parti digalas bersama oleh kepimpinan baru.

Menjelang pemilihan parti nanti saya ingin menggariskan harapan berikut;

i) Pemilihan parti adalah suatu proses menghurmati hak dan kebebasan memilih dan tidak harus mencarikkan perhubungan dan silaturahmi sesama pimpinan dan anggota

ii) Pemilihan dalam parti bermaksud persaingan sesama rakan perjuangan yang membawa makna yang terpilih dan yang tidak, tetap mempunyai tempat dan peranan di dalam parti

iii) Parti memerlukan satu pasukan kepimpinan yang kuat dan

mantap

yang berupa gabungan semua peringkat anak muda, wanita, pimpinan lama dan pimpinan baru yang akan bersama Presiden mempersiapkan parti mendepani pilihanraya umum ke 15 yang akan berlangsung pada bila-bila masa

iv) Pemilihan ini akan menghasilkan saf kepimpinan baru yang boleh bekerja sebagai satu pasukan, saling menghurmati, saling mengiktiraf peranan dan sumbangan masing-masing, bebas dari amalan berpuak (factions), memanfat kelebihan bersama dan saling membantu kelemahan sesama kita

Saudara dan saudari yang dihurmati,

Sehubungan harapan itu dengan penuh keinsafan dan rendah diri saya Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pada hari ini bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN pada pemilihan parti kali ini. Saya memohon dan merayu seluruh anggota parti menimbangkan alasan-alasan berikut;

i) Pengalaman dan ketaatan kepada pimpinan dan perjuangan parti selama hampir 23 tahun

ii) Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi Presiden kini disandang Dato Seri Anwar Ibrahim sepertimana sebelumnya membantu Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihanraya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya

iii) Saya mengalu-alukan pengumuman awal sahabat saya Rafizi Ramli yang ikut menawar diri. Sejujurnya Rafizi Ramli merupakan asset parti, seorang yang kreatif, intektual, tinggi daya juang dan dihurmati rakan dan lawan. Justru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti

iv) Saya komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri saya sebagai salah seorang ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti

v) Bersama pimpinan lain saya ikut membantu mempersiapkan parti khususnya pada pilihanraya 2008, 2013 dan 2018 terkait semua urusan rundingan kerusi, pembikinan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara

vi) Pada ketika lanskap politik negara sudah banyak berubah yang menyaksikan tiada lagi dominasi tunggal satu parti politik yang mampu menang pilihanraya, maka kemahiran diplomasi politik menjadi suatu keperluan. Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti-parti sahabat di dalam Pakatan Harapan dan parti-parti lain di negara kita.

vii) Saya juga berjanji akan menghurmati keputusan setiap anggota parti yang membawa maksud jika terpilih saya akan tunaikan amanah dan jika sebaliknya saya akan terus kekal berkhidmat untuk KEADILAN dalam apa jua peranan

 

No comments: