Cabaran untuk posisi Naib Presiden KEADILAN semakin rancak dengan
pengumuman rasmi mantan Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Govin untuk bertanding
kerusi berkenaan dalam Pemilihan KEADILAN 2022.
Melalui siaran video berdurasi 4.00 minit, Manivanan menyeru agar
anggota KEADILAN memberi peluang kepada mana mana pemimpin yang setia dan
memiliki komitmen tinggi terhadap parti untuk dicalonkan sebagai bakal pemimpin
negara.
"Perubahan politik harus berlaku, perjuangan harus
diteruskan. Pemimpin yang berprinsip, komited dan setia dalam perjuangan harus
diberi ruang dan peluang.
"Jawatan merupakan satu amanat dan tanggungjawab. Kita
memegang jawatan untuk berbakti kepada rakyat, bangsa dan negara berteraskan
kejujuran dan dedikasi serta kredibiliti
"Berasaskan pedoman dan prinsip yang sama, saya Manivanan
Gowin dengan redah diri menawarkan diri dalam pemilihan parti yang akan datang
untuk bertanding jawatan Naib Presiden KEADILAN," katanya.
Sebelum itu, beliau mengingatkan anggota parti bahawa Malaysia
merupakan negara yang kaya raya dan makmur namun kesukaran hidup rakyatnya
bermula apabila membenarkan diri mereka dipecah dan diperintah oleh pemimpin
politik yang mementingkan kelompok tertentu serta korup.
"Malaysia negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kita
dikurniakan pelbagai kekayaan muka bumi dan kekayaan semula jadi .
"Kita juga mempunyai kekayaan kepelbagaian, budaya, bahasa,
adat istiadat, pakaian, makanan dan warisan.
"Kekayaan ini wajar diraikan bersama. Walaupun bibir sedap
menutur, telinga gembira mendengar, ia bukan sesuatu yang mudah. Yang
memisahkan kita semua bukan rakyat biasa tetapi ahli politik yang rakus, angkuh
dan tamak kuasa," katanya.
Untuk itu, tegas Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu,
rakyat haruslah memastikan negara ditadbir oleh parti politik yang benar benar
membela hak semua kaum, telus dan berakauntabiliti.
Namun perjuangan untuk itu, katanya, harus bermula dengan
Pemilihan KEADILAN 2022 dan memilih pemimpin yang tepat serta mampu memikul
tanggungjawab.