Selamatkan Sapura, entiti swasta tidak boleh guna dana rakyat - Rafizi


 

Penyelamatan Sapura Energy Berhad dalam apa keadaan sekali pun tidak boleh menggunakan dana rakyat sebagaimana dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Najib Razak.



Menurut Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, tidak kira kerajaan mana yang mahu menyelesaikan masalah Sapura, dana berkaitan entiti kerajaan tidak seharusnya digunakan untuk menyelesaikan masalah kewangan swasta.



"Apabila saya bersuara sebarang usaha untuk menyelesaikan kemelut kewangan Sapura tidak boleh melibatkan wang rakyat, Najib menimbulkan isu kerugian wang rakyat melalui pegangan PNB di dalam Sapura, kehilangan kerja, kerugian vendor dan pinjaman bank kepada Sapura.



"Pada dasarnya, sebarang permasalahan kewangan syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir yang lemah. Sekiranya syarikat-syarikat swasta diselamatkan oleh wang rakyat setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada pertanggungjawaban untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing.



"Tambah pula, dalam hal ini, beberapa rekod kewangan Sapura sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi terutamanya berhubung bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya yang juga mewakili beberapa pemegang saham terbesar," katanya dalam kenyataan hari ini.



Selain itu, Rafizi yang juga akauntan bertauliah mendakwa berjaya mengesan bayaran yang terlalu tinggi dan tidak wajar dalam laporan kewangan Sapura yang telah menekan kewangan syarikat terbabit sejak sekian lama.



Katanya, gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif yang mencecah ratusan ribu ringgit setiap hari (2013: RM123,351 sehari, 2014: RM313,422 sehari, 2015: 245,893 sehari, 2016: 250,693 sehari, 2017: RM242,970 sehari, 2018: RM102,321 sehari, 2019: RM35,693 sehari, 2020: RM26,293 sehari dan 2021: RM16,586 sehari) begitu juga pengarah eksekutif dibayar dalam bentuk lain



Rafizi turut mendakwa menemui beberapa masalah yang menyukarkan Sapura untuk bergerak dan mengembangkan operasi berasaskan keuntungan sektor minyak dan gas.



"Sewa tahunan yang dibayar oleh Sapura kepada syarikat yang berkaitan pengarah eksekutif dan pemegang saham yang mereka wakili sejumlah RM149 juta. Ia dibayar sebagai sewa dalam tempoh 2013 hingga 2021.



"Yuran harta intelek (IP) sebanyak RM439 juta dalam tempoh 2013 hingga 2021. Saya difahamkan bayaran ini adalah yuran bagi membolehkan Sapura Energy Berhad menggunakan nama “Sapura” yang dilesenkan oleh pemegang saham," katanya.



Manakala bagi tempoh 2009 hingga 2021, dakwa Rafizi, terdapat analisis kewangan yang menunjukkan beberapa perkara yang bermasalah.



Dakwanya, Sapura membayar pengarah eksekutif tertentu yang mewakili pemegang saham majoriti sebanyak RM1.1 bilion sedangkan keuntungan yang dipulangkan kepada pemegang saham sebagai dividen hanyalah RM683 juta.



"Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar yang diwakili pengarah eksekutif adalah sekitar tiga kali ganda berbanding yang diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat.



"Semua ini berlaku semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka



"Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?" tanyanya



Oleh itu, sebagai penyelesaian, Rafizi berkata, secara bersiri beliau akan membentangkan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan dan mengelakkan ribuan kakitangannya kehilangan kerja.