Dituduh rompak bank, bekas polis dakwa Rahim Noor, 4 pegawai lain ‘konspirasi’

 


Ali Amir Batcha berkata, beliau dianiaya pegawai atasannya dan ditahan
bawah Ordinan Darurat sebelum dihantar ke Simpang Renggam selama
 tiga tahun.

PETALING JAYA: Bekas pegawai polis, Ali Amir Batcha membuat laporan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Ali mendakwa dia ditahan secara tidak sah bawah Ordinan Darurat selama tiga tahun pada 1990-an atas dakwaan terbabit dalam satu rompakan bank.

Beliau mengadakan sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam selepas membuat laporan itu di mana dia turut menamakan empat bekas pegawai polis lain, termasuk bekas Ketua Polis Johor.

“Saya ditahan menggunakan EO, dihantar ke Simpang Renggam dan menghabiskan beberapa bulan dalam kurungan bersendirian, di mana saya dipaksa mengaku melakukan satu rompakan yang berlaku pada 16 Jun 1995.

“Jika benar, kenapa mereka tidak menggunakan (rakaman) CCTV untuk mendakwa saya di mahkamah? Kenapa menggunakan undang-undang zalim itu?” soalnya sambil menyifatkannya “konspirasi”.

Rompakan bank itu didakwa berlaku di Johor dan Ali berkata, dia bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ketika itu.

Ali berkata, satu tribunal khas dalam prosiding tertutup telah membersihkan namanya daripada dakwaan itu pada 2020.

Beliau memfailkan laporan itu selepas menghantar dapatan itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk diwartakan minggu lalu.