Rakyat Johor matang, mustahil BN menang 2/3 majoriti - Hassan Karim

 

Retorik Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 Mac lalu bahawa BN akan menang 2/3 majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap mustahil akan berlaku.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, bukan sahaja majoriti besar tidak mungkin diperolehi malah sekiranya tidak bernasib baik BN boleh terlepas kembali menerajui Kerajaan Negeri.

"Banyak sebab yang tidak membantu BN untuk memenangi PRN Johor kali ini.

"Rakyat Johor telah melepasi satu ujian psikologi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 tahun lalu. Mereka berjaya menumbangkan kerajaan BN yang telah berkuasa sejak merdeka, lebih 60 tahun. Ertinya tidak mustahil parti politik lain boleh menggantikan BN untuk menjadi kerajaan negeri. Rakyat Johor tidak lagi takut membuat perubahan.

"Dalam PRN ini pilihan terbuka kepada rakyat Johor. Lebih setengah dozen parti politik bertanding.

"BN tidak boleh mengharapkan apa yang berlaku dalam PRN Melaka akan berulang sekali lagi di Johor," katanya.

Menurut mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu, pelbagai perkara harus diambil kira dalam PRN ke 15 ini yang tidak wujud dalam sejarah politik Johor sebelumnya.

"Pertama, rakyat Johor yang dikategorikan sebagai pengundi atas pagar menganggap PRN adalah satu pilihan raya yang dipaksakan oleh BN terhadap mereka. Pengundi membantah PRN yang dianggap membazirkan wang rakyat. Mereka mempersoalkan kenapa tidak tunggu sehingga PRU 15 yang akan tiba tidak lama lagi? Golongan ini akan menolak BN.

"Kedua, dengan kemasukan ramai pengundi baru dari berumur bawah 30 tahun menjadikan jumlah pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting menentukan kemenangan atau kekalahan sesuatu parti politik. Undi 18 dan pengundi baru pendaftaran automatik akan dilaksanakan pada PRN ini. Dalam PRN Melaka hal itu belum berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Begitu juga, tegas Hassan, strategi BN menurunkan pemimpin Umno terpalit kes rasuah kononnya ada aura tidak menjadi kenyataan kerana pesalah rasuah tidak digemari rakyat Johor.

"Kempen BN dengan mengketengahkan pemimpin-pemimpin politik yang telah disabit bersalah oleh mahkamah dalam skandal salahguna kuasa, pecah amanah jenayah dan pelupusan wang haram atau yang sedang dalam perbicaraan atas tuduhan-tuduhan serupa menjadikan imej BN kotor dan tercemar.

"Bagi pengundi-pengundi atas pagar yang jernih fikiran mereka tentu akan bertanya pada diri mereka sendiri, adakah parti politik yang macam ini aku akan undi?

"Keempat, pengundi-pengundi atas pagar dan pengundi muda sebahagian besar mereka sedang terperangkap dalam putaran ganas keadaan sosio-ekonomi mereka sendiri.

"Isu pengangguran, hilang pekerjaan, gaji rendah dan kos sara hidup yang tinggi amat membebankan fikiran mereka. Slogan kestabilan masa depan yang dikemukakan oleh BN dipandang sinis oleh golongan pengundi atas pagar yang merupakan golongan terbesar B40 dan M40 yang terkesan dengan kemerosotan ekonomi negara," katanya.

Manakala fakta kelima, kata Hassan, kempen angkuh dan sombong BN seperti kenyataan PM dan kenyataan Bekas Menteri Besar Johor yang merupakan Naib Presiden Umno yang menyatakan BN khususnya Umno mahu menang dengan majorit besar sebenarnya tidak akan membantu dalam PRN.

Katanya, penyokong tegar Umno dan BN sahaja yang naik semangat dengan gendang perang seperti itu. Tetapi kempen yang bongkak dan takabur sedemikian ditolak oleh pengundi-pengundi rasional atas pagar.

Bagaimanapun, tambah Hassan, pengundilah yang akan menjadi penentu pada 12 Mac ini, sama ada Umno BN masih laku atau mereka mahukan kerajaan yang lebih baik dan realistik.