HUJAHAN BALAS TERHADAP SASARAN PERDANA MENTERI



Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata di Segamat, semalam 6 Mac bahawa Barisan Nasional (BN) mensasarkan kemenangan dua pertiga pada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor.


Saya menganggap kenyataan Perdana Menteri itu satu retorik yang bersifat propaganda politik. Banyak sebab yang tidak membantu Barisan Nasional untuk memenangi PRN Johor kali ini.


Rakyat Johor telah melepasi satu ujian psikologi pada Pilihanraya Umum ke-14 tahun 2018. Mereka telah berjaya menumbangkan kerajaan BN di Johor yang telah berkuasa sejak Merdeka, lebih 60 tahun. Ertinya tidak mustahil parti politik lain boleh menggantikan parti BN untuk menjadi kerajaan negeri.Rakyat Johor tidak lagi takut membuat perubahan.


Dalam PRN Johor ini pilihan terbuka kepada rakyat Johor. Lebih setengah dozen parti politik yang bertanding. 


BN tidak boleh mengharap apa yang berlaku dalam PRN Melaka akan berulang sekali lagi di Johor.Mengapa saya berkata demikian?


Pertama, rakyat Johor yang dikategorikan sebagai pengundi atas pagar menganggap PRN Johor ini adalah satu pilihanraya yang dipaksakan oleh BN terhadap rakyat Johor. Pengundi ini membantah PRN ini yang dianggap membazirkan wang rakyat. Mereka mempersoalkan kenapa tidak tunggu sehingga Pilihanraya Umum ke-15 yang akan tiba tidak lama lagi? Golongan ini akan menolak BN.


Kedua, dengan kemasukan ramai pengundi baru dari kalangan pengundi berumur bawah 40 tahun menjadikan jumlah pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting menentukan kemenangan atau kekalahan sesuatu parti politik. Undi 18 dan pengundi baru pendaftaran automatik akan dilaksanakan pada PRN Johor. Dalam PRN Melaka hal ini masih belum berlaku.


Ketiga, kempen BN dengan mengketengahkan pemimpin-pemimpin politik BN yang telah disabit bersalah oleh mahkamah dalam skandal rasuah, salahguna kuasa, pecah amanah jenayah dan pelupusan wang haram atau yang sedang dalam perbicaraan atas tuduhan-tuduhan serupa menjadikan imej BN kotor dan tercemar. Bagi pengundi-pengundi atas pagar yang jernih fikiran mereka tentu akan bertanya pada diri mereka sendiri, adakah parti politik yang macam ini aku akan undi?


Keempat, pengundi-pengundi atas pagar dan pengundi muda serta pengundi kali pertama sebenarnya, sebahagian besar mereka kini sedang terperangkap dalam putaran ganas keadaan sosio-ekonomi mereka sendiri. Isu pengangguran, hilang pekerjaan, gaji rendah dan kos sara hidup yang tinggi amat membebankan fikiran mereka.Slogan kestabilan masa depan yang dikemukakan oleh BN dipandang sinis oleh golongan pengundi atas pagar ini yang merupakan golongan terbesar B40 dan M40 yang terkesan dengan kemerosotan ekonomi negara. Kestabilan untuk siapa tanya mereka? 


Kelima dan terakhir, kempen angkuh dan sombong BN seperti kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa BN akan menang dengan majoriti dua pertiga, dan kenyataan Bekas Menteri Besar Johor yang merupakan Naib Presiden Umno yang menyatakan BN khususnya Umno mahu menang dengan majorit besar sebenarnya tidak akan membantu BN dalam PRN Johor kali ini. Penyokong tegar Umno dan BN tentu naik semangat dengan gendang perang yang kencang dan kuat dipalu itu. Tetapi kempen yang bongkak dan takabur sedemikian akan ditolak oleh pengundi-pengundi rasional atas pagar.


Sama-samalah kita lihat nanti, selepas hari mengundi 12 Mac 2022. Sama ada Perdana Menteri betul, saya yang silap atau sebaliknya.


Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

07 Mac 2022 (Isnin)


No comments: