Anak muda guna minda rasional tolak BN - PN demi masa hadapan - Syed Ibrahim


 

Pusingan terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan BN menyajikan himpunan besar dan pelbagai pelancaran program untuk memamaikan minda pengundi bagi meneruskan kemenangan mereka.

Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, pelbagai himpunan dan jangkaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa BN akan menang 2/3 majoriti membuktikan telahan pembangkang benar, PRN diadakan semata mata untuk pengukuhan kuasa bukannya kestabilan politik.

"Dengan kenyataan itu jelas motif sebenar PRN Johor diadakan adalah untuk kukuhkan kuasa mereka, tatkala perebutan kuasa kronik antara BN dan PN

"Yang penting bagi mereka adalah dominasi. Inilah legasi keangkuhan BN yang mahu dikembalikan.

"Mereka melancarkan majlis besar besaran yang membazir, kita sendiri boleh lihat sejak dua tiga hari lepas. SOP ke laut. Kita rakyat jaga SOP, tetapi tidak mereka.

"Majlis besar juga boleh jatuh kepada sogokan dan pengaruh tak wajar dengan perasmian (pelbagai program) dan semua ini dalam tempoh kempen.

"Mereka (mungkin) memperoleh kemenangan dengan rekod buruk ini. Namun skandal rasuah besar seperti NFC, 1MDB dan Felda berlaku ketika Umno BN sangat kuat dan tidak boleh dicabar," katanya dalam sidang media KEADILAN Johor, pagi ini.

Justeru pada pusingan terakhir kempen, Syed Ibrahim menyeru anak anak muda atau pengundi pertama kali menggunakan minda rasional mereka menolak BN atau PN demi masa hadapan generasi bangsa Johor.

"Saya menggesa anak anak muda atau yang pertama kali mengundi. Pertama menilai dengan bijaksana akan calon calon dan tawaran serta aspek yang lebih baik buat diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara

"Kedua, undilah calon KEADILAN dan PH yang benar benar boleh mengangkat suara rakyat Johor dan membela nasib mereka

"Ketiga, tolak calon calon yang mengutamakan kuasa dan kepentingan elit politik atas derita rakyat, sama ada dalam Umno BN atau PN," katanya lagi.

 

No comments: