Zahid arah bekas setiausaha sulit keluar surat lanjut kontrak UKSB


Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 pertuduhan rasuah.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini, diberitahu bahawa Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan bekas setiausaha sulit kanannya mengeluarkan surat iringan bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan eVisa kepada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) selama enam tahun, bermula 2019.

Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Sumber Manusia, berkata beliau telah diarahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk mengeluarkan surat tersebut kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 14 Feb 2017.

“Bersama-sama surat tersebut, saya kepilkan sepucuk surat UKSB kepada Datuk Seri Ahmad Zahid bertajuk Lanjutan Tempoh Pelaksanaan Sistem VLN dan eVisa Bagi Tempoh Enam Tahun bermula 31 Okt 2019 sehingga Tahun 2025 Adalah Sejajar Dan Seiring Dengan Pembangunan Dan Pelaksanaan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bertarikh 8 Feb 2017,” katanya.

Saksi kesembilan itu, berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.

Pada 22 Dis tahun lalu, saksi pendakwaan keenam, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Zahid yang melanjutkan kontrak UKSB bagi pelaksanaan sistem VLN kerana terlalu awal, sedangkan tempoh tamat kontrak itu masih panjang.

Muhd Khair, 56, berkata Zahid juga mengarahkannya supaya mengeluarkan dua lagi surat iringan kepada KSU KDN, pada 16 Mei dan 16 Jun 2017.

Surat bertarikh 16 Mei adalah bagi permohonan melanjutkan tempoh pelaksanaan kontrak perkhidmatan One Stop Centre (OSC) Bagi Kemudahan Visa di China untuk tempoh enam tahun, manakala surat bertarikh 16 Jun mengenai cadangan lanjutan tempoh pelaksanaan kontrak perkhidmatan itu selama tiga tahun bermula15 Mei 2018.

Sementara itu saksi kelapan, Abdul Halim Mohammad, 55, berkata beliau menandatangani surat iringan bertarikh 24 Okt 2016 yang dimajukan kepada KSU KDN (Alwi) berhubung permohonan kelulusan untuk melanjutkan kontrak VLN dan Evisa bagi tempoh enam tahun kepada UKSB.

“Surat iringan ini merupakan rutin yang diurus pejabat menteri bagi pengesahan bahawa surat telah sampai kepada pejabat menteri,” kata Abdul Halim iaitu bekas setiausaha politik kepada Zahid.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

No comments: