MoU antara kerajaan dan PH bukan bermaksud pakatan pembangkang menyokong Ismail Sabri Yaakob, menurut Khalid Samad. (Gambar Pejabat Perdana Menteri)


PETALING JAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah penyebab Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Beliau berkata, perlantikan Ismail adalah kerana beliau mendapat kepercayaan 114 Ahli Parlimen dan tiada kaitan dengan MoU.

“Mou ini bukan penyebab Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, beliau jadi Perdana Menteri atas 114/115 sokongan Ahli Parlimen,” katanya pada Live Facebook Borak Dahsyat – Kenapa Bising Dalam Parlimen? semalam.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menegaskan, MoU antara kerajaan dan PH bukan bermaksud mereka menyokong Ismail mahupun parti Umno, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Description: https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2021/03/Khalid-Samad-MS-130321.jpgKhalid Samad.

Menurutnya, MoU tersebut dimeterai adalah sebagai ruang untuk pihak kerajaan dan pembangkang membuat rundingan agar dapat mencapai persetujuan secara prinsip terlebih dahulu.

“Kewajipan kita (PH) di bawah MoU ini hanya dua iaitu nombor satu bila dibentangkan bajet kita jangan pula buat bahagian untuk menolaknya tetapi ada syarat.

“Syaratnya ialah sebelum ia dibentangkan maka ia dirundingkan bersama dengan PH dan mendapat persetujuan secara prinsip terlebih dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid juga menolak dakwaan bahawa PH memeterai MoU adalah kerana mahu mendapatkan peruntukan, sebaliknya beliau berkata peruntukan hanyalah salah satu daripada “reform”.

Ujarnya, Pakatan Harapan tetap akan memainkan peranan sebagai pembangkang untuk semak dan imbang setiap keputusan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan tiada kepincangan berlaku.

“Kerajaan memerlukan pembangkang untuk bantu mereka, tak bermaksud dah meterai MoU tak boleh tegur, kita tetap main peranan semak dan imbang.

“Jangan tuduh kita meterai MoU sebab nak dapat peruntukan, peruntukan hanyalah salah satu daripada reform,” katanya.