Dakwaan 2 pelajar sekolah maut selepas divaksin, ini penjelasan polis

 


Dakwaan 2 pelajar sekolah maut selepas divaksin, ini penjelasan polis


Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak hari ini menerima dua laporan polis yang dibuat berhubung berita mengenai kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini, kononnya disebabkan suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan itu dibuat pegawai pendidikan (kesihatan) Daerah Ipoh dan pengetua sekolah berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, polis menerima maklumat bahawa seorang pelajar perempuan tingkatan 5 meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat kencing manis serta COVID-19 dan masih belum menerima suntikan vaksin.

Pelajar kedua pula, katanya seorang lelaki tingkatan 5, meninggal dunia pada 17 September di HRPB kerana masalah jantung berlubang, juga masih belum menerima vaksin COVID-19.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Negeri Perak bermula pada 20 September 2021.

“Namun demikian, kematian kedua-dua pelajar tersebut disahkan sebelum PICK Remaja ini bermula,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Menurutnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang bertanggungjawab.

No comments: