PAS ‘jangan lupa’ petik ayat Al-Quran babit larangan berjudi di Parlimen, sindir Hanipa

 

Faiz Zainudin
 -

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad memberikan ‘dalil-dalil’, susulan tindakan kerajaan menambah bilangan cabutan khas judi.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS diminta ‘tidak lupa’ memetik ayat suci Al-Quran berkaitan larangan berjudi ketika berbahas, kata Mohamed Hanipa Maidin (PH- Sepang).

Hanipa secara menyindir berkata, beliau mahu pemimpin PAS ‘berhenti’ memetik ayat Al-Quran di Dewan Rakyat, dan menumpukan sahaja kepada dalil larangan berjudi dalam Islam.

“Mereka (wakil rakyat PAS) dalam Parlimen sentiasa membaca ayat-ayat Al-Quran, baca ayat judilah. Jangan baca ayat lain, baca ayat judi,” sindir Hanipa merujuk kepada keputusan kerajaan yang meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kali kepada 22 kali setahun, bermula tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Hanipa mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad memberikan ‘dalil-dalil’, susulan tindakan kerajaan menambah bilangan cabutan terbabit.

Katanya, ada kepimpinan PAS sendiri tidak senang dengan keputusan kerajaan itu.

“Kita harap kerajaan Melayu Islam yang ada PAS ini boleh menjawab kenapa di zaman kerajaan Melayu Islam ini, tiba-tiba daripada lapan jadi 22 (cabutan judi).

“Saya tabik dan harap Menteri Agama boleh jawab. Sekarang banyak desakan daripada pemimpin-pemimpin PAS supaya mereka menarik balik sokongan daripada kerajaan kerana mereka telah gagal mempertahankan Islam walaupun parti berlandaskan Islam,” katanya.

Antara Ahli Parlimen PAS yang membantah keputusan kerajaan itu membabitkan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang mendesak kerajaan menarik balik kebenaran meningkatkan pelaksanaan cabutan khas berkenaan.

Katanya, jika kerajaan gagal menarik balik kebenaran cabutan itu, Putrajaya bakal berdepan tentangan hebat sama ada di Dewan Rakyat dan di luar Dewan Rakyat.

No comments: