SELEPAS BEBAS DENGAN BAYAR RM1.1 JUTA, LEKEHLAH KALAU AHMAD MASLAN MASIH HADAP JAWATAN TIMBALAN SPEAKER

 

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan adalah salah seorang pemimpin parti itu yang termasuk dalam kumpulan kluster mahkamah.

Begitu pun, beliau dikira seorang yang hebat kerana ketika masih berdepan kes mahkamah pun, Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tetap mahu meletakkannya sebagai Timbalan Speaker Parlimen.

Tiada sesiapa yang lain daripada kluster mahkamah dalam UMNO yang ditawar jawatan dalam kerajaan sebaik Ismail Sabri mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Mahiaddin Md Yasin melainkan hanya beliau saja.

Ahmad Maslan satu-satunya yang diberi keistimewaan itu, Najib Razak dan Zahid Hamidi pun tidak dapat menandinginya.

Berikutan pencalonannya mendapat bantahan daripada Bersatu yang enggan menyokongnya kerana masih berdepan kes mahkamah, kerajaan Keluarga Malaysia yang benar-benar mengutamakan keluarga UMNO ini sanggup pula menangguhkan pencalonannya bagi membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan terlebih dahulu.

Pindaan itu ialah bagi menambah jawatan Timbalan Speaker Parlimen daripada dua kepada tiga, salah satu diperuntukkan kepada pembangkang.

Untuk itu, pencalonanya yang sepatutnya dibuat dalam sidang Parlimen sekarang ditunda kepada hujung Oktober depan.

Selepas pindaan itu nanti, Ahmad Maslan daripada blok kerajaan dan Nga Kor King daripada blok pembangkang, yang dicalonkan bagi jawatan itu akan terpilih secara automatik untuk menjadi Timbalan Speaker Parlimen bersama Rashid Hasnon yang sudah sedia menduduki salah satu jawatan tersebut.

Makna kata, pindaan Perlembagaan itu bukan sangat dibuat untuk memberi blok pembangkang jawatan Timbalan Speaker, tetapi lebih untuk memastikan Ahmad Maslan tidak terlepas daripada jawatan yang telah dijanjikan.

Tengok…hebat tak Ahmad Maslan, tak sia-sia CGPA 3.85 yang dimilikinya?

Rasa-rasanya belum ada sesiapa yang ingin diberi jawatan, tetapi sampai kerajaan sanggup meminda Perlembagaan bagi tujuan itu.

Tetapi, bermula hari ini Ahmad Maslan bukan lagi anggota kluster mahkamah berikutan keputusan mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan kepada LHDN ketika menerima wang RM2 juta daripada Najib.

Beliau dibebaskan setelah membayar kompaun RM1.1 juta dan bersama itu, pertuduhan memberi kenyataan palsu kepada SPRM terhadapnya turut digugurkan.

Ahmad Maslan kini adalah seorang yang bebas, walaupun dari segi faktanya, dengan sedia membayar denda RM1.1 juta itu bermakna beliau mengakui kesalahannya.

Kalau yakin tidak bersalah, lebih baik untuk berlawan dan menang di mahkamah daripada membayar kompaun yang bukan sedikit yang khabarnya dipinjam daripada kawan-kawannya.

Baiknya hati kawan-kawan dia, siapa agaknya antara kawan-kawannya itu?

Adakah mereka itu pemimpin UMNO juga, kawan sekolah, kawan-kawan peniaga yang dikenalinya sewaktu jadi timbalan menteri sebelum ini atau orang tertentu dalam kluster mahkamah sekarang?

Siapa pun yang menolong beliau membayar kompaunnya itu, yang penting beliau kini sudah boleh “left grup” kumpulan kluster mahkamah dengan jiwa yang tenang.

Cuma, dengan menjadi orang yang bukan lagi terkait kes mahkamah sekarang ini, Ahmad Maslan rasanya tidak sesuai lagi terus menanti jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang ingin diberikan Perdana Menteri kepadanya sebelum ini.

Jawatan itu boleh diperolehinya dalam keadaan dirinya masih ada kes mahkamah, malah kerajaan sanggup meminda Perlembagaan untuk memberi jawatan itu kepadanya.

Jadi, dengan sudah dibebaskan oleh mahkamah dan membayar kompaun RM1.1 juta, buat apa lagi menanti jawatan yang sama?

Ahmad Maslan dan bersama dengan UMNO dalam hal ini, mesti menuntut jawatan yang besar daripada Perdana Menteri.

Jawatan yang ternampak paling cocok untuk dirangkulnya, sesuai pula dengan UMNO sudah menunjangi kerajaan ialah Speaker Parlimen itu sendiri.

Jadi Speaker baru ada kelas Mat…lekehlah kalau masih hadap Timbalan Speaker juga.

Kalau masih tunggu lagi jawatan Timbalan Speaker, baik tak payah bayar denda RM1.1 juta, sebab dengan title kluster mahkamah pun nantinya akan dapat juga jawatan yang sama. –

 ShahbudinHusin 29/09/2021.



No comments: