KERAJAAN DIBENTUK PUN ADA KARTEL...SENDIKET CURI MAKLUMAT PUN ADA SENDIKET JUGAK...MELINGKUP LA NEGARA MACAM INI

 


SPRM dedah ‘pakatan’ rasuah kartel dengan pegawai Jabatan Perolehan




Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Izani Wan Ishak berkata, berdasarkan kes terdahulu, individu di Jabatan Perolehan akan berpakat dengan kontraktor atau pembekal untuk membocorkan maklumat dalaman mengenai sesuatu projek kepada syarikat pembida.

PETALING JAYA: Jabatan Perolehan di agensi kerajaan dan swasta didapati paling terdedah kepada skandal rasuah hingga wujudnya pakatan antara pegawai jabatan itu dan kartel tertentu untuk membolot projek, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Izani Wan Ishak berkata, berdasarkan kes terdahulu, individu di Jabatan Perolehan akan berpakat dengan kontraktor atau pembekal untuk membocorkan maklumat dalaman mengenai sesuatu projek kepada syarikat pembida.

“Menerusi pakatan ‘menang-menang’ itu, pembida dapat melalui proses kelulusan tender secara mudah dengan wujudnya amalan rasuah di semua peringkat jabatan.

“Kartel inilah yang menjadi masalah besar yang kita hadapi dan perkara ini sudah lama berlaku dan akan terus berlaku,” katanya dalam seminar bertajuk “Bersama Memerangi Rasuah”.

Beliau berkata, kuasa, jawatan dan kedudukan seseorang serta peluang dan ruang untuk melakukan rasuah adalah antara punca utama wujudnya elemen rasuah dalam sesuatu jabatan.

Katanya, sektor awam mencatatkan kes rasuah paling tinggi dengan 1,628 kertas siasatan dibuka sejak 2018 hingga Ogos tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 255 kes telah dijatuhkan hukuman,” katanya.

Ditanya adakah wujud gangguan daripada mana-mana pihak ketika siasatan dijalankan, Izani mengakui menghadapi kesulitan dari segi kerjasama membabitkan individu berpengaruh atau berjawatan dalam memberi keterangan yang tepat dan benar.

“Tidak ada di peringkat penyiasatan diganggu oleh mana-mana pihak selama 37 tahun saya menyelia kes, tetapi masalah kita adalah untuk dapatkan kerjasama apabila melibatkan individu berkuasa atau berjawatan dalam mendapatkan fakta sebenar,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohamed Shafie BP Mammal mencadangkan Mahkamah Rasuah diwujudkan agar kes berkaitan jenayah itu dapat diberikan perhatian sewajarnya.

“Dengan adanya Mahkamah Rasuah ini, tempoh perbicaraan tidak mengambil masa panjang kerana rakyat sudah meluat dengan apa yang berlaku sekarang, selepas kes berjalan begitu lama, akhirnya sesuatu kes itu digugurkan atau dilepaskan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes.