Terkini! Menteri PN kata Muhyiddin tidak akan letak jawatan

 

Terkini! Menteri PN kata Muhyiddin tidak akan letak jawatan

August 12, 2021 

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menolak spekulasi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat.

“Saya tidak dengar spekulasi itu,” katanya.

Menurutnya, parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan terus memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk menerajui kerajaan.

“Sokongan padu akan terus diberikan kepada beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program MAFI Prihatin di pekarangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai spekulasi di media sosial bahawa Muhyiddin akan meletakkan jawatannya sebelum sidang Parlimen akan datang.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir ketika ini sedang menghadiri hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Ronald berkata, setakat ini Parlimen dijadual bersidang pada 6 September depan dan sebarang perubahan tarikh akan ditentukan oleh ketua majlis manakala sidang Parlimen khas akan ditentukan oleh Perdana Menteri.

Ronald yang juga Menteri MAFI sebelum itu memberitahu, kementerian melalui agensi dan syarikat berkaitan akan meneruskan program pemberian bakul makanan kepada rakyat yang terjejas.

“Pada hari ini, 11 rakan strategik Jabatan Perikatan Malaysia (DOF) hadir menyampaikan sumbangan bakul makanan berjumlah RM34,000 untuk diagihkan,” katanya.

Ujarnya, lokasi pertama penyerahan bakul makanan akan diadakan di beberapa lokasi termasuk Pulau Tioman, Pahang, diikuti Port Dickson, Negeri Sembilan dan gugusan Kepulauan Lima, Johor.

“Secara keseluruhan sebanyak 630 bakul makanan akan diserahkan kepada kumpulan sasar,” katanya.

Secara keseluruhan, sejak 1 Jun sehingga 8 Ogos, seramai 71,491 individu di 400 buah lokasi di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program MAFI Prihatin dengan bantuan mencecah RM5.4 juta.

No comments: