Selepas hampir 9 bulan membuat laporan polis dan tidak diketahui
status siasatan kesnya, seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol
kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham akan
memfailkan saman sivil terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut peguam wanita berkenaan Asheeq Ali Sethi Alivi, tindakan
itu terpaksa dilakukan kerana belum mendapat sebarang perkembangan siasatan
berhubung kes berkenaan dari pihak polis.
Katanya, pihak beliau telah menghantar surat pertama untuk meminta
makluman perkembangan kes pada 10 Jun lalu melalui e-mel dan tidak dibalas.
Manakala semalam beliau menghantar sendiri surat kedua kepada Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kuala Lumpur.
"Kini, sudah berbulan masih tiada maklum balas sehingga hari
ini. Ia juga sudah terlalu lama dan kami tidak lagi boleh menunggu,"
katanya dipetik.
Tambah beliau tindakan saman akan difailkan sekiranya surat
terbaharu itu tidak dijawab dalam masa tujuh hari
"Ini adalah kes rogol yang melibatkan nama-nama besar.
Laporan juga telah dibuat tetapi kenapa mengambil masa yang terlalu panjang?”
katanya.
Beliau turut membandingkan kes anak guamnya itu dengan kes lain
sebelum ini.
"Laporan kes ADUN Tronoh diterima 9 Julai 2019 dan dituduh
bulan seterusnya dan kes kedua membabitkan wakil rakyat parti Amanah tindakan
diambil dengan kadar segera tetapi kenapa kes ini hampir sembilan bulan tidak
ada perkembangan?” soalnya.
Untuk rekod, mangsa membuat laporan polis pertama pada 5 Disember
tahun lalu mendakwa dua lelaki merogolnya, namun menarik balik laporan pada 8
Disember kerana mendakwa diugut.
Dia bagaimanapun berubah fikiran dan meminta siasatan dilakukan
pada Januari.
Salah seorang yang didakwa merupakan pemimpin bahagian parti
komponen Perikatan Nasional, makakala seorang lagi dikatakan rakan Hilman.