Mahkamah didedahkan Najib hubungi Jho Low ketika mesyuarat Lembaga 1MDB

 Mahkamah didedahkan Najib hubungi Jho Low ketika mesyuarat Lembaga 1MDB

August 12, 2021 

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho menerima panggilan telefon dari Perdana Menteri Najib Razak semasa mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB pada tahun 2009.

Bekas pengarah strategi korporat 1MDB, Kelvin Tan dalam keterangannya pagi ini memberitahu panggilan telefon itu dibuat semasa mesyuarat pada 26 September tahun itu, di mana kehadiran Low tidak dicatatkan dalam senarai kehadiran dan minit mesyuarat.

Tan memberi keterangan semasa perbicaraan hari ini terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, K Arul Kanda mengenai tuduhan meminda laporan audit akhir dana kekayaan negara yang bermasalah itu.

Di antara intipati utama kes pendakwaan adalah beberapa isu kontroversi dikeluarkan daripada laporan audit akhir itu berikutan mesyuarat penting pada 24 Februari 2016.

Bekas ketua audit negara, Ambrin Buang, yang menghadiri mesyuarat itu sebelum ini memberi keterangan bahawa keputusan telah dibuat pada hari itu untuk menyingkirkan isu kehadiran Low dalam mesyuarat ahli lembaga 1MDB 2009.

Selain Ambrin, individu lain yang hadir dalam mesyuarat 24 Februari itu ialah ketua setiausaha negara, Ali Hamsa, Dzulkifli Ahmad dari Jabatan Peguam Negara (AGC),; setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh,- dan Arul Kanda.

Semasa prosiding mahkamah di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, Tan memberitahu bahawa walaupun tidak mempunyai peranan rasmi dalam 1MDB, Low hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 2009.

Saksi pendakwaan ke-8 itu berkata, sebagai respons bagi menjawab pertanyaan dari pengarah 1MDB Che Lodin dalam mesyuarat itu, Low menjawab bahawa dia mempunyai peranan dalam “Lembaga Penasihat”.

 

Tan berkata ahli lembaga pengarah 1MDB yang hadir kemudian menerima jawapan Low dan tidak menjadikan kehadiran ahli perniagaan berkenaan dalam mesyuarat itu sebagai isu.

Selain merupakan perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah hari ini, Tan memberi keterangan bahawa semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 2009, Low menyerahkan telefon bimbit kepada pengerusi 1MDB ketika itu, Mohd Bakke Salleh.

Saksi itu mendakwa panggilan telefon itu adalah dari perdana menteri ketika itu.

Shafee: Jho Low pasti ada mengatakan sesuatu dalam mesyuarat itu. Jika tidak, apa gunanya dia menghadiri mesyuarat itu?

Tan: Saya ingat dia (Low) menyerahkan telefon kepada Bakke, dan saya ingat Bakke terkejut apabila itu adalah perdana menteri.

Bagaimanapun, ketika Shafee meneruskan soalan lanjut, Tan mengatakan dia tidak dapat mengingat apa lagi yang dikatakan oleh Low semasa mesyuarat itu.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustaffa P Kunyalam, saksi itu mengatakan bahawa panggilan telefon itu adalah dari Najib.

Mustaffa: Kamu kata Jho Low serahkan telefon kepada Bakke, mengatakan bahawa itu adalah PM. Siapa PM ketika itu?

Tan: Najib Razak.

Perbicaraan diteruskan hari ini dengan saksi pendakwaan ke-9, iaitu bekas timbalan setiausaha kabinet, Mazidah Abdul Majid memberi keterangan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak tindakan dilakukan terhadapnya.

Seorang lagi tertuduh Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Tuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang menetapkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.