Undi percaya terhadap Perdana Menteri 7 September ini - Saifuddin

 Undi percaya terhadap Perdana Menteri 7 September ini - Saifuddin

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan bahawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan akan dibawa pada 7 September depan di Sidang Dewan Rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan dalam Sidang Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Demikian jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam sidang media secara dalam talian sempena Sesi Turun Padang Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama CyberSecurity Malaysia hari ini.
"Namun timbul isu keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, beliau telah memutuskan perkara ini sebagai undi percaya di Parlimen pada September.
"Itu tarikh yang ada dan notis telah dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat pada 7 September, tarikh dinyatakan sebagai tarikh diadakan undi percaya," jelasnya Saifuddin.
Bagaimanapun tambahnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik.
"Semua perkara ada banyak kemungkinan dalam politik ada pelbagai kemungkinan, namun secara rasmi tarikh yang ada pada 7 September," jelasnya lagi.
Tambah Saifuddin, usul terbabit berkemungkinan akan diusulkan oleh Timbalan Perdana Menteri atau Menteri yang akan dipertanggungjawabkan bagi pihak kerajaan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut berhubung pertemuan pemimpin dan ketua parti PN bersama Perdana Menteri di Putrajaya semalam, ujarnya kesemua pemimpin menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin.
"Saya tidak menghadiri mesyuarat tersebut sebab saya bukan salah seorang anggota majis pimpinan utama, saya difahamkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah adakan siri pertemuan dengan pimpinan, ketua parti PN.
"Setakat saya faham dan setakat saya dimaklumkan, kesemua parti-parti dalam PN terus istiqomah dari segi memberikan sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri," jelasnya.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) yang lain yang bermula pukul 5 petang Rabu di Perdana Putra.
Antara pemimpin yang hadir dalam pertemuan selama dua jam itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.