Terkni! Pemuda Umno cabar speaker nafi surat makluman Muhyiddin hilang majoriti kepada Agong

 

Terkni! Pemuda Umno cabar speaker nafi surat makluman Muhyiddin hilang majoriti kepada Agong


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mencabar Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menafikan surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti.

Beliau berkata, dalam surat itu Muhyiddin hanya mempunyai 100 sokongan Ahli Parlimen selepas 14 Ahli Parlimen menarik balik sokongan kepada perdana menteri.

“Pemuda Umno meminta Azhar segera menafikan surat ditularkan walaupun beliau tidak mahu komen kerana melibatkan Istana Negara.

“Kegagalan melakukannya hanya mengesahkan surat tersebut dan zahirkan bahawa perdana menteri secara rasmi sudah sah hilang majoriti dan mesti segera lepaskan jawatannya berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Menara Datuk Onn.

Semalam, Azhar menafikan laporan sebuah portal yang memetik beliau memaklumkan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.

Azhar berkata, laporan itu adalah berita palsu.

Sebelum ini, tersebar berita kononnya dilapor sebuah portal dalam satu laporan bertajuk “Perdana Menteri terima surat Speaker maklum tiada majoriti, mahu bubar Parlimen” yang memetik Azhar sebagai berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Muhyiddin.

Dalam pada itu, Asyraf berkata isu keabsahan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin disifatkan agak kritikal.

Katanya, ini kerana ini melibatkan dasar polisi kerajaan, status pinjaman dibuat kerajaan dan status segala kontrak dan waran diluluskan kerajaan.

“Pemuda Umno desak perdana menteri segera letak jawatan sekiranya hilang majoriti untuk elakkan implikasi besar terhadap keabsahan serta urusan kerajaan yang boleh dipersoalkan kelak,” katanya.

Asyraf juga berkata, Pemuda Umno telah membuat satu laporan polis berkenaan keabsahan status perdana menteri mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keabsahan perdana menteri ini dipersoalkan berasaskan dua faktor iaitu pertama surat Presiden Umno, Zahid Hamidi yang diutuskan kepada Agong pada 30 Julai lalu.

“Ini beserta 14 akuan Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Dengan penarikan 14 Ahli Parlimen tersebut, kerajaan berasaskan kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat yang muktahir iaitu 114 hilang 14 sokongan menjadikan sokongan tinggal 100 Ahli Parlimen. Justeru hilang majoriti,” katanya.

Asyraf berkata faktor kedua beliau membuat laporan polis berdasarkan surat Azhar kepada Agong yang menyatakan Muhyiddin tinggal 100 sokongan Ahli Parlimen.

“Kita nak tahu surat itu benar atau palsu,” katanya.

Menurut laporan, 15 Ahli Parlimen Umno sudah menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya, sama ada secara terbuka atau melalui akuan berkanun (SD), menyebabkan gabungan pemerintah itu hanya mempunyai sokongan kira-kira 100 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.

Blok pembangkang mempunyai 105 Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), Pejuang, Warisan, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan MUDA, termasuk bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik yang menjadi ahli Bebas.

Penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen daripada Umno itu menjadikan jumlah mereka yang menentang Muhyiddin seramai 120 daripada keseluruhan 220 Ahli Parlimen.

Kini perdana menteri itu hanya mempunyai sokongan 100 Ahli Parlimen manakala dua kerusi kosong susulan kematian penyandangnya.



No comments: