SELAIN PERTINGKAT SUNTIKAN VAKSIN, PH ULANGI TUNTUTAN PERLUNYA SUNTIKAN FISKAL RM45 BILION UNTUK RAKYAT

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil maklum respon rakyat termasuk pakar pelbagai bidang terhadap pengumuman Kerajaan bahawa beberapa kelonggaran akan diberi kepada mereka yang telah menerima dua dos vaksin di negeri-negeri mengikut fasa tertentu Pelan Pemulihan Negara.

Kelonggaran ini adalah pengakuan kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang membunuh lebih 11,162 rakyat Malaysia dengan 1.3 juta jangkitan sehingga 10 Ogos 2021.

Walaupun ramai yang mungkin berasa lega adanya kelonggaran-kelonggaran ini, namun peringatan dari pakar kesihatan awam berkenaan sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.

Ini termasuklah menambah peruntukan bagi rawatan COVID-19 khususnya meningkatkan jumlah katil ICU, pemekat oksigen (oxygen concentrator), menjalankan saringan ujian secara awam mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu “Find, Test, Trace, Isolate and Support plus vaccination” (FTTIS+V) serta lain-lain keperluan di negeri-negeri Fasa 2 sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang COVID-19 yang baharu.

Majlis Presiden juga menekankan bahawa jumlah vaksin dos pertama di negeri-negeri wajib dipertingkat segera sebelum Hari Merdeka pada 31 Ogos, terutama di Sabah yang merupakan negeri-negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.

Memandangkan penerima dua dos vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus COVID-19, tidak boleh diketepikan kemungkinan gelombang baharu di negeri-negeri Fasa 2.

Memandangkan virus COVID-19 boleh tersebar sebagai titisan (droplet) atau aerosol, kami berpandangan SOP pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikemaskini dan dikuatkuasa dengan lebih tegas.

Insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi (HEPA filter).

Kerajaan juga harus membantu premis-premis termasuk hotel, inap desa (homestay), dan restoran yang akan menerima pelanggan yang sudah menerima dua dos vaksin juga perlu memastikan kesemua pekerja mereka telah menerima sekurang-kurangnya vaksin dos pertama.

Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Kerajaan perlu memberi suntikan fiskal tambahan secara langsung yang lebih besar, iaitu sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, serta membantu pemulihan sektor-sektor yang telah sangat terkesan akibat PKP atau ‘total lockdown’ sejak 1 Jun 2021.

Tanpa suntikan tambahan RM45 bilion ini, jemputan untuk hanya seorang wakil Pakatan Harapan ke dalam Majlis Pemulihan Negara adalah tidak bermakna dan ditolak kerana ia bagai “melepaskan batuk di tangga” (“window-dressing”) untuk mengesahkan dasar ekonomi dan pandemik COVID-19 oleh Kerajaan Perikatan Nasional yang telah gagal.

Anwar Ibrahim

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng

Parti Tindakan Demokratik (DAP)



No comments: