Oleh Miswary Ramli
(Setiausaha Politik kepada Hannah Yeoh)
Malaysia belum nampak tanda-tanda mampu berjaya keluar daripada petaka pandemik Covid-19.
Walaupun ada Menteri mendakwa, terdapat pihak yang mungkin iri hati dengan usaha mereka yang sedang ‘menghampiri kejayaan’.
Keseluruhan kes lebih 1.2 juta dan pernah mencecah 360 kes kematian dalam satu hari bukan ‘kejayaan’ yang boleh dibanggakan.
Selain memberi kesan terhadap sistem kesihatan, ekonomi dan sektor sosial negara, pandemik ini turut memberi kesan terhadap iklim politik negara terutama kepada parti politik yang berpaksikan keagamaan.
Parti politik mereka dilihat semakin memburukkan keadaan dan bukan pula sebaliknya.
Tambah melucukan, ia telah memperlihatkan wajah sebenar ahli-ahli politik yang menjadikan agama sebagai batu-bata membina parti agama yang kemudiannya digunakan sebagai tangga untuk naik berkuasa, sedang perbuatan, tindakan dan perkataan yang terbit daripada mulut mereka hanya merosakkan imej dan kepimpinan agama yang mereka sendiri tawarkan.
Ia tidak lebih cuma sekadar memerah air limau ke tompok luka yang ditumpah garam.
Pedih dan terlalu menyakitkan. Lihat sahaja bagaimana mereka mudah mentertawa orang miskin yang meminta bantuan dan menjadikan kematian pesakit Covid sebagai bahan gurau pemimpin mereka.
Agama rupa-rupanya tidak lagi mengikat mereka dengan akhlak terpuji.
Dan kini, tindak tanduk mereka semasa menjadi Kerajaan cuma mengesahkan apa yang telah selama ini diperkatakan orang mengenai mereka – penunggang agama.
Malam ini ketika saya menyaksikan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang disiarkan secara langsung dari kaca televisyen – saya kecewa sendirian.
Melihat para Menteri termasuk Menteri Agama, Menteri Kabinet yang lain termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang hadir dengan hamparan permaidani merah, dipersilakan duduk dengan ruang solat yang telah dipersiapkan lengkap dengan kerusi bersila bersandar, semua imej tersebut tambah mengecewakan saya.
Kemewahan dan keselesaan seperti itu tidak harus dan tidak sepatutnya dipertontonkan kepada rakyat yang sedang terkurung tanpa pekerjaan, hilang sumber pendapatan, kering duit simpanan dan derita tidak mempunyai bekalan makanan.
Malah, saya berpandangan majlis itu tidak wajar diadakan ketika kes kematian terkumpul sudah hampir mencecah 11,000 kes sehingga semalam dan penderitaan rakyat tidak sedikit pun terangkat.
Saya gagal memahami untuk apa majlis rai-meraikan ketika ada di kalangan kita sedang meratapi kematian ibu bapa, anak isteri dan keluarga tersayang serta terbeban dengan segala macam bebanan akibat pandemik ini.
Majlis secara langsung tersebut seolah-olah memperlihatkan orang kaya yang menunjuk-nunjuk kemewahan kepada orang miskin, orang yang kekenyangan sedang membazirkan lebihan makanannya di depan mereka yang tengah kelaparan.
Semuanya kelihatan salah walaupun ia sebuah majlis yang diselang seli dengan doa, bacaan ayat Al-Quran oleh Perdana Menteri dan imej Menteri agama berjubah yang duduk dan berdiri di sebelahnya.
Tahun baharu dalam kalender Islam yang kita sambut hari ini adalah titik tolak simbolik kepada penghijrahan dan perubahan yang perlu dilakukan bukan sahaja oleh kita, tetapi oleh ahli-ahli politik yang bersandar kepada parti agama untuk terus hidup dan berkuasa.
Mereka yang kini duduk di dalam Kerajaan tidak lagi digantung harap untuk membuat penghijrahan.
Kemampuan mereka bukan sahaja terbatas atas kepintaran mereka yang terhad, malah gagal memanfaatkan kedudukan mereka untuk agama dan rakyat.
Mereka tidak berupaya mendorong yang lain untuk mengubah strategi yang tidak berkesan dan tidak pula menyelesaikan masalah. Mereka hanya akur dengan kegagalan yang dipersetujui dan diolah secara bersama.
Mereka inilah yang lebih memerlukan penghijrahan dan perubahan sempena tahun baharu Hijrah ini.
Amalan mempersenda kesusahan dan penderitaan rakyat perlu dihentikan dan diubah. Amalan melanggar SOP dan mempertahankan pembohongan perlanggaran SOP juga perlu diubah.
Amalan menulis rencana dengan memperlekeh dan melabel orang lain yang dibenci mereka memerlukan penghijrahan juga.
Melakukan fitnah terhadap lawan politik mereka adalah penghijrahan terbesar yang perlu dituntut ke atas ahli-ahli politik ini.
Semua perubahan atau penghijrahan ini jika tidak dilakukan oleh ahli-ahli politik jenis ini, maka mereka tidak lagi menepati kedudukan parti agama yang terdiri daripada ‘agamawan’ yang disandang mereka.
Malah ia telah memberikan imej yang lebih buruk kepada agama dan ini lebih merbahaya.
Warna sebenar parti politik keagamaan yang mereka usung satu persatu terdedah ketika mereka berkuasa.
Hari ini rakyat sudah membuat kesimpulan akan duduk sebenar sikap dan tindakan mereka.
Rakyat mendapati ahli-ahli politik parti keagamaan ini tidak boleh diharap mendepani isu kebajikan rakyat, menangani cabaran pandemik dan menyelesaikan pergelutan politik.
Mereka gagal ketika menjadi pembangkang dan gagal teruk ketika menjadi Kerajaan.