Kehadiran Ahli Parlimen dihadkan sesi September: Apakah tindakan menyukarkan Undi Percaya?

 


Kenyataan Timbalan Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mencadangkan bilangan Ahli Parlimen dihadkan pada Mesyuarat penggal baharu Dewan Rakyat bermula 6 September depan, atas alasan mengekang penularan wabak Covid-19 dianggap tidak relevan.



Menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), biar pun mereka prihatin akan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyatakan terdapat 97 kes positif Covid-19 terkait Parlimen, termasuk satu kematian melibatkan pegawai kepada timbalan menteri namun hal itu bukan alasan kukuh menghadkan kehadiran Ahli Parlimen.



"Kami berpandangan alasan ini tidak lebih sekadar ulang tayang menggunakan alasan sama Covid 19 sejak tahun lepas bagi menggantung fungsi Parlimen walaupun pelbagai alternatif dan teknologi telah digunakan di negara luar agar Parlimen terus beroperasi dengan efektifnya.



"Adakah cadangan menghadkan kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat adalah salah satu cubaan melengahkan dan terus menunda persidangan Parlimen? Atau apakah ini suatu langkah menghalang proses pengundian bagi Usul Percaya terhadap Perdana Menteri daripada berjalan dengan lancar dan adil?" tanya Bersih 2.0.



Menurut kenyataan itu lagi, Parlimen Malaysia seharusnya belajar daripada pengendalian urusan Parlimen di negara luar terutama negara maju yang mempunyai banyak kes Covid tetapi institusi pembuat undang-undang mereka tetap berjalan lancar.



"Setelah Malaysia hidup dengan norma baharu dan terpaksa hidup dengan Covid-19 bagi tempoh satu setengan tahun, kami serta rakyat keseluruhannya mempersoal usaha sebenar Kerajaan, khususnya KKM menyediakan persekitaran yang selamat untuk institusi Parlimen, selaku badan semak imbang terpenting negara agar terus berfungsi. Gantung dan tunda Parlimen bukan lagi penyelesaiannya. Apakah KKM mengharapkan dengan kaedah sama bakal membuahkan keputusan yang berbeza?



"Kami mendesak pihak KKM dan Parlimen Malaysia mengambil langkah proaktif bagi instiusi Parlimen terus berjalan tanpa diratib lagi alasan Covid-19 bagi menghalang aktiviti demokrasi dan semak imbang kepada dasar-dasar negara. Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat mesti disegerakan bagi membenarkan persidangan Parlimen dan mesyuarat Jawatankuasa Parlimen diadakan secara maya mahupun mod hibrid," kata pertubuhan itu.



Selain itu, BERSIH 2.0 juga mengingatkan agar Ketua Pengarah Kesihatan menjalankan tugas secara berkecuali dan tidak cenderung kepada mana-mana pihak dalam menguatkuasakan prosedur kesihatan atau Prosedur Operasi Piawai berhubung sidang Parlimen.



"Kami ingin mengingatkan KP Kesihatan supaya menjalankan tugasnya secara profesional dan kekal berkecuali dalam politik. KKM dan pandemik Covid-19 tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik Kerajaan Perikatan Nasional bagi menghalang undi percaya di Parlimen.



"Selanjutnya, jika KP Kesihatan tidak dapat mengendalikan virus Covid-19 di sebuah kawasan tertutup Parlimen untuk persidangan parlimen yang penting ini, adakah kita benar-benar boleh mengharapkan beliau menangani wabak Covid-19 di seluruh negara?



"Justeru kami percaya proses demokrasi yang terencat hanya akan merencatkan lagi usaha menangani dan mengekang penularan pandemik Covid-19 yang tidak kebah kini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," kata mereka lagi.


No comments: