Rakyat perlu siri bantuan kewangan untuk teruskan hidup, kata Guan Eng

 

Lim Guan Eng berkata, kerajaan tidak rugi jika ia meminjam RM45 bilion daripada pasaran hutang domestik bernilai RM1.3 trilion untuk membantu syarikat dan rakyat yang terjejas dengan lanjutan PKP penuh.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perlu ada satu lagi pakej bantuan kewangan untuk membantu syarikat terjejas dan pekerja yang kehilangan pekerjaan susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari.

Katanya, kerajaan tidak akan rugi dengan meminjam RM45 bilion daripada pasaran hutang domestik bernilai RM1.3 trilion untuk membantu syarikat dan rakyat terjejas akibat impak ekonomi susulan sekatan pergerakan berterusan.

“Kerajaan Perikatan Nasional perlu mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk seluruh masyarakat yang boleh menyuntik RM45 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan pendapatan rakyat susulan lanjutan PKP.

“Sebelum ini, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion dengan hanya RM5 bilion dana baharu, susulan PKP pertama selama dua minggu dari 1 Jun lalu.”

Bekas menteri kewangan itu berkata, dengan anggaran kerugian harian sebanyak RM2.4 bilion, jumlah keseluruhannya dianggarkan sekurang-kurangnya RM60 bilion, dengan tambahan suntikan tunai RM45 bilion ke dalam ekonomi akan membantu meredakan keadaan itu.

“Suntikan tunai perlu memanfaatkan pekerja dan perniagaan secara langsung.”

Beliau mencadangkan:

  • Bayaran kebajikan bulanan dinaikkan kepada RM1,000, termasuk untuk penganggur, bagi baki tujuh bulan tahun ini sehingga selesai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK);
  • Lanjutan automatik moratorium bayaran pinjaman bank, tidak termasuk kategori T20, sehingga program itu selesai menjelang akhir tahun ini. Kos itu perlu ditanggung industri perbankan, yang mencatatkan keuntungan selepas cukai hampir RM23 bilion;
  • Insentif pengambilan pekerja selama dua tahun, merangkumi insentif upah RM500 sebulan kepada pekerja tempatan dan insentif pengambilan sebanyak RM300 sebulan untuk majikan, mewujudkan peluang pekerjaan untuk 300,000 warga tempatan;
  • RM28 bilion dalam bentuk geran kewangan; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pemberian kredit kepada perusahaan kecil dan sederhana, industri pembinaan, peruncitan dan pelancongan yang lumpuh.

Lim berkata, apa yang diperlukan untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi ialah bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian.

“Kaedah lama bantuan ‘one-off’ ialah bantuan sementara kewangan yang tidak melindungi pendapatan pekerja biasa dan rakyat yang terjejas dari segi kewangan.

“Bantuan kewangan tidak patut terhad kepada B40, tetapi juga golongan M40 untuk mengelakkan mereka menjadi golongan B40.”

No comments: