Mageran mekanisme di bawah darurat, tidak selaras dengan Perlembagaan - Aziz Bari

 

Aziz Bari tegaskan bukan 'alat' DAP


POSTED BY AMIR WRLR


Majlis Gerakan Negara atau Mageran bukanlah sesuatu yang boleh diwujudkan di luar kerangka darurat.

Hal itu tidak sebagaimana dipropagandakan oleh paksi yang menyokong pendekatan penubuhan Mageran yang membayangkan badan tersebut boleh dibentuk selepas darurat ditarik balik bagi menggantikan pentadbiran Perikatan Nasional.

Menurut pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, Mageran mustahil dibentuk dalam suasana bukan darurat dan ianya mesti diusulkan oleh kerajaan semasa.

"Ada melihat darurat telah gagal dan bagi menyelesaikan masalah maka buat Mageran. Tidak. Mageran itu adalah darurat dalam bentuk yang lain," katanya dalam sesi siaran Facebook, malam tadi.

Bagi Dr Aziz, Mageran secara praktikalnya akan menyebabkan Perdana Menteri sedia ada kekurangan kuasa dan Pengerusi Mageran akan mengambilalih fungsi menggerakkan urustabir negara.

"Sebelum kenyataan rasmi Pakatan Harapan (PH) yang menolak isu Mageran, Tun Mahathir diberitakan menawarkan diri ketika mengadap Agong, untuk menjadi pengarah kepada Mageran.

"Jadi Mageran adalah satu mekanisme di bawah darurat 1969. Waktu itu Tun Razak yang memegang jawatan Pengarah Mageran seolah-olah menjadi pemerintah. Walaupun ada kerajaan, ada kabinet, tetapi Timbalan Perdana Menteri yang menjadi Pengarah Mageran.

"Jadi isu pada saya ada beberapa isu penting, apakah Mageran, bagaimana wujudnya dan apakah implikasi kepada sistem itu sendiri?

"Mageran bukan satu formula ajaib biar pun ada kalangan ahli ekonomi pernah mencadangkan satu mekanisme seumpama ini. Beliau melihat dari segi ekonomi, sedangkan Mageran suatu perkara yang secara umumnya tidak selaras dengan demokrasi dan Perlembagaan. Cuma dibenarkan oleh Perlembagaan dalam suasana ekstrem sahaja," katanya.

Dr Aziz juga mengkritik pendirian Tun Mahathir dalam isu darurat, yang pada awalnya menyokong Jawatankuasa Tamatkan Darurat dikepalai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kepada menyokong darurat dengan menawarkan diri sebagai Pengerusi Mageran.

"Dari segi politik bila Mahathir bercakap soal Mageran dan tawar diri sebagai pengarah, beliau telah menjauhkan diri dari PH.

"Mageran yang dibentuk di bawah kuasa darutat mempunyai kuasa mutlak. Boleh buat undang-undang tanpa ke Parlimen. Contohnya, kalau Tun Mahathir dilantik sebagai Pengarah Mageran maka dia secara tidak langsung akan menyingkirkan PM yang ada," katanya.

Oleh itu, kata Dr Aziz, kerajaan perlu meminda atau mereformasikan Perlembagaan Persekutuan, khususnya mengenai peruntukan darurat yang kabur dan boleh dimanipulasikan oleh golongan 'mabuk kuasa'.

"Kita mahu mempastikan darurat dapat direformasikan.

"Ini satu perkara yang perlu dibuat melalui pindaan Perlembagaan dan sudah tentu memerlukan suara majoriti. Maknanya 2/3 tidak mudah untuk didapati sekarang.

"Jadi (jika pindaan mahu dilakukan) pihak kerajaan dan pembangkang harus duduk sama dan sama-sama seperti kita meminda peruntukan berhubung Undi 18 hari itu, supaya kita dapat membersihkan Perlembagaan kita (daripada unsur manipulasi)," katanya lagi.

 

No comments: