LANGKAH MAGERAN. MAHATHIR BERI SIGNAL KEPADA MUHYIDDIN

 

Langkah Mageran

1. Idea Mageran ini bukan baru. Kalau nak diikutkan antara yang awal mengeluarkan cadangan ini adalah Ibrahim Ali, Presiden Parti Putra.

2. Tetapi memandangkan pada waktu itu keadaan negara tidaklah seteruk sekarang dan dia juga dianggap sebagai watak sampingan dalam politik tanah air, tiada siapa ambil serius.

3. Penghujung Mei, Dr Mohammed Abdul Khalid, bekas Penasihat Ekonomi Tun Dr Mahathir semasa Tun menjadi Perdana Menteri ada menyampaikan pandangan tersebut. Beliau mengimbau keadaan pada ketika negara menghadapi krisis politik yang membawa darurat keselamatan pada tahun 1969.

4. Kemudian, kelmarin, Ketua Setiausaha Sulit Kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mengeluarkan satu tulisan justifikasi dan katanya ada video juga, menolak cadangan Mageran dan mendakwa kerajaan sedia ada sedang berfungsi dengan baik.

5. Tengah hari semalam, Umno melalui Ketua Pemudanya melahirkan rasa pelik mengapa tiba-tiba idea Mageran ini menjadi topik yang ingin diperkatakan oleh Marzuki Mohamad. Umno katanya tak bersetuju perkara tersebut.

6. Mengambil pendirian sama, Parti Tindakan Demokratik (DAP) menerusi Lim Guan Eng menolak cadangan tersebut dan berkata apa yang dibangkitkan oleh Ketua Setiausaha Sulit PM itu menimbulkan lebih banyak persoalan.

7. Petang semalam, sebaik selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tun Dr Mahathir membuat sidang media secara maya berkenaan pertemuan beliau dengan Agong.

8. Tanpa berselindung, beliau sebut bahawa beliau mencadangkan Mageran kepada YDP Agong dan bersedia untuk menawarkan khidmat untuk memainkan peranan.

9. Beberapa kali beliau sebut, ‘kami’ tahu bagaimana untuk menguruskannya meskipun katanya ragu-ragu sama ada kerajaan bersetuju untuk langkah tersebut. Tidak dapat dipastikan ‘kami’ itu merujuk kepada siapa sama ada partinya yang masih belum sah berdaftar; Pejuang atau kumpulan lain.

10. Mat Sabu tak ketinggalan untuk beri pandangan dalam hal ini. Seperti rakan karibnya Lim Guan Eng, beliau tak bersetuju dengan idea Mageran.

11. Tun dalam sidang medianya juga mengangkat dirinya sebagai orang yang paling layak dan berkemampuan untuk pulihkan negara. Anwar tak beri apa-apa solusi semasa perbincangan mereka menerusi telefon. Kerajaan sekarang tak mampu implementasikan idea-idea yang beliau ada walaupun idea-idea itu disampaikan kepada mereka. Dan semua ucapannya menjurus untuk merendah-rendahkan kemampuan orang lain. Hanya dia dan ‘kami’ yang beliau sebut sahaja yang mampu.

12. Membaca langkah Tun ini, beliau sebenarnya sedang menawarkan option kepada Muhyiddin untuk keluar daripada Putrajaya.

13. Semua pihak sedar Muhyiddin sudah hilang keyakinan rakyat. Beliau diserang di setiap penjuru. Nombor sokongannya pun jelas tidak cukup sebagai kerajaan yang punya majoriti yang mendorong langkah darurat diambil.

14. Malah timbul juga desas-desus mengatakan wujud satu gerakan dalam kalangan mereka sendiri untuk mengutip SD bagi mengangkat seseorang menggantikan beliau. Ini mendorong Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran kepada gerakan tersebut.

15. Cuma yang menjadi langkah seterusnya bagaimana Muhyiddin menguruskan hal ini. Kepada siapa dia perlu serahkan kunci Putrajaya sekiranya benar beliau sudah tidak mampu bertahan lagi.

16. Umno dalam keadaan sekarang ini mungkin menjadi penentu. Kalau mereka buat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin, yang desakannya semakin kuat, maka tumbanglah kerajaan ini.

17. Sebaliknya, kalau Umno tidak bertindak begitu, PN masih boleh bernafas di Putrajaya tetapi darurat harus disambung.

18. Tun sebenarnya menyampaikan mesej kepada Muhyiddin, kamu mahu serah kunci Putrajaya kepada musuh atau kompromi untuk beri kepada aku sebagai bekas ketua kamu melalui Mageran.

19. Kalau kamu berserah dan Umno bertindak maka kita sama-sama tenggelam. Tetapi kalau kamu usulkan Mageran, kita masih boleh bernyawa tanpa perlu pening memikirkan bagaimana mencari 112 ahli parlimen.

..bersambung…

Dr Razam Ramli.

 

No comments: