BENARKAH MENUKAR KERAJAAN KETIKA COVID19 DAN DARURAT LEBIH MEMBAWA KESUSAHAN KEPADA RAKYAT?

 

Banyak pihak ternampak tidak setuju pertukaran kerajaan dilakukan ketika pandemik Covid19 sedang melanda negara sepertimana sekarang ini.

Berikutan itu, meskipun UMNO yang ketika ini menunjangi sokongan terhadap kerajaan PN dan dalam masa yang sama sudah mempunyai ketetapan putus hubungan dengan Bersatu, masih tidak berani dan menangguhkan dahulu keputusan yang telah dibuat itu.

UMNO berpendirian mahu menunggu setelah wabak Covid19 ini berakhir atau sehingga 1 Ogos iaitu apabila tempoh darurat yang dikuatkuasakan sekarang tamat tempohnya terlebih dahulu barulah mahu melaksanakan ketetapan tersebut.

Beberapa pemimpin UMNO menyatakan jika mereka menarik sokongan sekarang dan menjatuhkan Mahiaddin, ia adalah suatu keputusan yang akan menyusah dan membebankan rakyat.

Kerana itu, sementara UMNO kini berubah menjadi pembangkang kepada kerajaan PN dengan hampir semua yang dilakukan Mahiaddin Md Yasin dipertikai dan tidak dipersetujui, kecuali oleh golongan kluster menteri, rakyat nampaknya akan terus terbelenggu dalam derita ditadbir oleh sebuah kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal.

Dengan angka kes terus meningkat, di samping jumlah kematian mencecah 60 atau 70 orang setiap hari dengan jumlah besarnya sudah menghampiri 4,000, semua ini adalah fakta-fakta yang menggerunkan serta membuatkan rakyat bertambah stress dalam hidup seharian.

Lebih memburukkan keadaan, oleh kerana mengetahui kedudukannya semakin teranncam, Mahiaddin pula lebih sibuk untuk menjaga kuasanya dengan terus menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang menyokongnya, sudah tentu disertai janji, tawaran dan ganjaran, selain menguatkuasakan darurat yang menyebabkan Parlimen digantung sekali.


Darurat yang dicanangkan kononnya untuk menangani Covid19 terbukti telah diselewengkan tujuannya untuk melindungi kuasa semata-mata, malah setelah lima bulan darurat dikuatkuasakan, angka kes bukannya menurun, sebaliknya terus mencanak naik.

Keadaan ini bukan saja memperlihatkan gagalnya darurat, malah membuktikan kerajaan dan Mahiaddin itu sendiri gagal dalam membuat keputusan yang terbaik dan tepat untuk mengatasi masalah sebenar yang sedang dihadapi negara ini.

Masalah negara ketika ini ialah Covid19 yang berantai bersamanya wujud pelbagai masalah lain yang mengakibatkan kesuraman ekonomi, ketidakstabilan politik dan ketidaktenteraman dalam kehidupan sosial rakyat.

Puncanya tidak lain ialah kerana PN dan Mahiaddin telah gagal kerana lain masalah yang dihadapi negara, tetapi lain ubat yang diberi untuk memulihkannya.

Darurat bukanlah ubat untuk memulihkan Covid19, begitu juga dengan Mageran kerana kita tidak berdepan pun dengan permusuhan kaum atau ketegangan sesama sendiri yang melampau.

Masalah utama di depan kita ialah PN yang gagal sebagai kerajaan dan Mahiddin yang tiada keupayaan serta tiada kemampuan sebagai Perdana Menteri, tetapi mahu terus rakus dengan keghairahan untuk kekal berkuasa.

Maka itu, penyelesaian sebaiknya ialah menukar kerajaan dengan memberi peluang kepada parti atau kelompok lain yang dipercayai mampu menangani masalah yang ada untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Tiada guna sama-sekali mengekal atau mempertahankan lagi PN dan Mahiaddin kerana ia hanya menambahkan lagi kegagalan yang sudah sedia membuatkan rakyat menyampah dan hidup dalam derita.

Dalam keadaan ini, menukar kerajaan bukanlah tindakan yang menyusah atau membuatkan rakyat lebih derita, malahan itulah jalan yang mampu mengeluarkan rakyat daripada terus dibelenggu sengsara.

Selain mengekalkan lagi PN dan Mahiaddin akan menyebabkan rakyat terus derita dan tambah sengsara akibat kegagalan mereka mentadbir negara, seperti yang disebut dalam tulisan sebelum ini, Agong sendiri sebagai ketua negara akan turut mendapat malu sama selagi PN dan Mahiaddin ini tidak diketepikan.

Terlanjur kini Agong telah mengambil inisiatif mendapatkan pandangan daripada ketua-ketua parti sebelum mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 16 Jun, baginda pada waktu ini tentunya sudah memperolehi gambaran yang lebih jelas mengenai masalah sebenar dalam negara ini.

Sekali lagi, masalah kita ialah PN yang gagal sebagai kerajaan dan Mahiaddin selaku Perdana Menteri yang lemah, tiada keupayaan tetapi masih rakus untuk kekal berkuasa.

Darurat bukan penyelesaaiannya, jauh sekali Mageran kerana jika darurat ditanggapi ramai sebagai helah Mahiaddin untuk mengekalkan kuasanya, Mageran yang dicadangkan oleh Tun Mahathir dengan beliau juga menawarkan dirinya sendiri mengetuainya, ia adalah sama menunjukkan kerakusan ingin kembali berkuasa yang tidak berbeza dengan perangai Mahiaddin.

Penyelesaiannya tidak lain hanyalah dengan memilih kerajaan dan Perdana Menteri baharu agar rakyat tidak lagi terus derita serta sengsara, juga agar Agong selaku ketua negara tidak terus ditempias malu dan kekal selama-lamanya sebagai payung tempat patik-patik rakyat jelata di bawah ini untuk berlindung.

Kerajaan baharu, pemimpin baharu dan dengan idea baharu lebih mampu menangani masalah dalam negara berbanding memberi ruang lagi kepada kerajaan gagal dan pemimpin gagal terus bermain kuasa.

Ampun Tuanku, patik yang hina mohon memberi cadangan.


 (ShahbudinHusin 12/06/2021)



No comments: