PH BOLEH GUNAKAN LAMBANG PAKATAN HARAPAN.

 

DAP warning PKR, jangan bunuh kesepakatan!

Logo pilihan DAPSY dalam menghadapi PRU yang akan datang ini adalah, tidak lain tidak bukan, logo Pakatan HARAPAN. Usul membawa cadangan untuk menggunakan logo PKR, adalah sesuatu yang ditolak oleh DAPSY sebulat suara.

Cadangan ini sememangnya – tanpa kira apa-apa niat di sebaliknya – adalah sesuatu yang tidak wajar serta mempunyai nada untuk mengkhianati para penyokong serta parti-parti komponen Pakatan Harapan. Kami tidak boleh terima retorik yang boleh memutuskan silaturahim, mencacatkan persaudaraan, dan membunuh kesepakatan antara pendukung Pakatan Harapan; dan cadangan ini adalah suatu contoh yang mengundang ke arah pemecahbelahan itu.

Penggunaan Pakatan HARAPAN tidak diharamkan, tidak dilarang pemakaiannya, dan masih disokong oleh para penyokong dan rakyat majmuk Malaysia. Mengapa barisan calon Pakatan Harapan beriya sangat hendak menggunakan logo PKR sedangkan logo PAKATAN HARAPAN masih ada? Apa gunanya kekal nama dan wadah PAKATAN HARAPAN itu sekiranya lambang PKR pula yang diguna ganti?

Perkara ini adalah sesuatu yang sepatutnya dibahaskan secara dalaman dan di peringkat tertinggi, iaitu Majlis Presiden Pakatan Harapan. Saudara Akmal dan Saudara Syazni, Ketua Pemuda AMANAH merangkap Ketua Pemuda HARAPAN, sama juga seperti saya, merupakan anggota-anggota Majlis Presiden.

Kehadiran saya dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut jelas dimaklumkan tentang konsensus menggunakan ‘Lambang Bersama’ yang diputuskan dengan kecenderungan tinggi ke arah penggunaan lambang Pakatan Harapan.

Malah, konsensus yang dicapai ini kini diperincikan, diperhalusi dengan usaha lanjutan perbincangan yang mendalam, tanpa mana-mana pihak mengutarakan komen umum, supaya pengumuman sepakat dapat diuar-uarkan pada waktu dan masa yang sesuai.

DAPSY berpendirian bahawa Pakatan Harapan menang pada pilihanraya yang lepas atas nama PAKATAN HARAPAN. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan sendiri menang PRK Port Dickson menggunakan Logo Pakatan HARAPAN. Satu-satunya lambang yang boleh dan akan menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat, bukanlah logo DAP, bukanlah logo AMANAH, bukanlah logo PKR, TETAPI LOGO PAKATAN HARAPAN.


No comments: